Home » Analitis » Giatkan dailog elakkan perbalahan

Giatkan dailog elakkan perbalahan

Isu-isu agama kadang-kadang menjadi sensitif dan menimbulkan ketidakpuasan hati sesetengah kaum yg beragama didalam negara kita. Dengan itu muncul tahun 2025 ini justeru harus dijadikan landasan untuk kita terus berdailog dengan sesiapa sahaja demi kepentingan umat sejagat. Dialog ini menjadi agenda yang semakin penting dalam situasi negara kita yang terancam dengan perbalahan kaum dan agama akibat salah faham terhadap perbezaan pegangan agama.

Manusia merupakan makhluk yang sering kali dihubungi dengan persoalan intelektual dan keagamaan.Oleh sebab tradisi intelektual manusia masing-masing berbeza, proses pemahaman agama juga kadangkala mengundang masalah dan konflik. Masalah yang dihadapi bukan hanya mencakupi isu sosial atau masyarakat tetapi lebih berpihak kepada masalah teologi, yang turut disempitkan oleh fahaman tradisi dan ikatan primordial.

Skema pemikiran inilah menyebabkan banyak pihak cuba mencari penyelesaian, sekurang-kurangnya dengan mengkaji bagaimana titik temu antara agama boleh dilakukan, bagi membendung permusuhan dan peperangan yang berpanjangan.

Dalam sejarah manusia, berbagai-bagai peradaban, kebudayaan dan masyarakat, mahu tidak mahu terpaksa menjalin hubungan antara satu sama lain secara berterusan dan berpanjangan.Khususnya dalam konteks hubungan Islam dan Kristian akibat kejahilan yang disertai dengan rasa sangsi dan sikap permusuhan terhadap satu sama lain telah menghalang mereka daripada menjalinkan hubungan yang berkekalan dan berkembang maju.

Ternyata sejak berabad-abad, sejarah interaksi antara umat beragama lebih diwarnai oleh kecurigaan dan permusuhan dengan dalih demi mencapai keredaan Tuhan.

Kita juga harus belajar menghormati agama lain dan dalam masa yang sama  patuh ke atas agama yang dianuti. Kalau boleh kita usahakan dialog etika dan kerjasama sosial, mencari kesamaan nilai hidup bermasyarakat, seperti mengembangkan kod etika yang dapat diterima oleh semua ahli masyarakat dan bersifat universal.

Dialog yang berkesan lahir bukan berasaskan kekuatan fizikal atau fitnah, tetapi harus berlandaskan percubaan untuk memahami atau mencari kata sepakat dalam sesuatu masalah bersama dalam perspektif agama masing-masing.

Ujuran itu dianggap sebagai sebuah kombinasi dan pengembaraan ilmiah yang jarang berlaku serta sangat diperlukan oleh negara kita untuk memahami perkembangan nilai kehidupan keagamaan yang semakin pluralistik.

Pentingnya dialog antara agama ini adalah untuk mengetahui sejauh manakah perlunya sikap keterbukaan bagi memenuhi tuntutan kemasyarakatan antara penganut agama terutamanya Islam dan agama-agama lain di Malaysia.Melalui kefahaman inilah dijangka dapat mengurangkan salah faham dan prasangka buruk terhadap penganut agama lain.

Apabila masyarakat Islam memahami bentuk dan sifat penganut agama lain, mereka dipercayai boleh menerima lain-lain agama sebagai pilihan penganutnya. Ini seterusnya dapat membantu bukan Islam memahami gaya hidup dan falsafah kehidupan orang Islam dan hubungan yang komunikatif akan membolehkan imej Islam dapat diperbetulkan.

Islam difahami secara lebih baik dan usaha untuk melabelkan para penganutnya sebagai negatif dapat diperbetulkan. Perbuatan negatif bukanlah hak eksklusif sesebuah masyarakat atau hak orang Islam, perilaku negatif merupakan perbuatan yang melampau sempadan dan pegangan agama. Perbuatan atau peri laku negatif berlaku di mana-mana, oleh sesiapa saja yang tidak mengikuti garis panduan kehidupan beragama, secara lebih praktikal dan mendalam.

Jika perkataan agama difahami secara konkrit dan bukan secara metafizik, maka dialog antara agama bererti dialog antara orang yang beragama. Manakala perwatakan dialog merupakan suatu percakapan antara dua pihak atau lebih, yang mengandungi unsur keterbukaan, sikap kritis dan keupayaan untuk saling mendengar, saling belajar dan memahami.

Dialog harus difokuskan kepada titik-titik persamaan antara agama-agama yang berbeza. Antara titik persamaan yang boleh diketengahkan ialah sisi kehidupan bermoral yang menjunjung tinggi nilai-nilai keagamaan dalam segala aspek kehidupan dan peradaban manusia. Perbezaan yang boleh menimbulkan perselisihan harus dihindari.

Peserta dialog mestilah mempunyai sikap keterbukaan, iaitu pihak yang terlibat dalam dialog tersebut mestilah bersedia untuk mendengar. Keterbukaan dan kejujuran dalam dialog merupakan syarat penting. Perbezaan pendapat dalam dialog adalah wajar, malahan perbezaan itulah yang menimbulkan dialog.

Namun, perbezaan pendapat itu tidak boleh dijadikan alasan untuk menempatkan suatu keputusan dan penilaian yang berat sebelah. Tegasnya, dialog menuntut kedua-dua belah pihak untuk bekerjasama, bukannya berkonfrontasi dan saling menyalahkan atau mengalahkan.

Dialog ini bukanlah bermaksud mahu menganjurkan suatu perdebatan atau polemik tertentu. Yang penting, apa yang ingin dicapai melalui dialog ini ialah masing-masing dapat belajar dari pandangan dan pengalaman.

Apa yang menjadi fokus utama dalam setiap dialog tersebut ialah untuk mencari titik temu berkaitan persoalan-persoalan kemanusiaan sejagat serta bersama-sama berusaha menyebarkan nilai-nilai keagamaan yang luhur dan dituntut oleh semua agama.

Wilfred Cantwell Smith, Pengarah Pusat Agama-Agama Dunia di Harvard mengatakan, Adalah tugas dan kepentingan kita untuk mengakui bahawa misi dan dialog itu akan saling bertemu, telah tiba saatnya kita saling memahami, menghormati dan membantu satu sama lain dan bersama-sama bertujuan menciptakan dunia yang dapat diterima; dengan demikian misi kita saat ini adalah untuk bekerjasama dengan seluruh umat manusia.

Masa depan hubungan antara agama dinegara kita bergantung kepada kemahuan penganut masing-masing untuk membaiki kelemahan masa lalu dan memandang ke hadapan.

Kedua-dua komuniti ini hendaklah mempunyai kesungguhan untuk membangunkan sebuah komuniti yang memiliki kesedaran sebagai orang mukmin yang bertekad membangunkan pemahaman yang lebih baik antara satu sama lain, baik semangat Kristus bagi umat Kristian mahupun semangat al-Quran dan al-Sunnah bagi umat Islam.

Jalan yang paling baik ke arah ini ialah melalui dialog dengan bersikap jujur dalam menghadapi perbezaan-perbezaan asas, dan bersama-sama mencari suatu kebenaran yang tidak sepenuhnya dimiliki oleh mana-mana kelompok.

Pemimpin agama dari pelbagai komuniti mempunyai tanggungjawab moral menjaga agama daripada disalah guna atau dieksploitasi untuk kepentingan politik yang sempit.
Setiap pemeluk agama bertanggungjawab untuk membudayakan sikap keterbukaan, menerima perbezaan dan menghormati kemajmukan, disertai ketaatan dan komitmen terhadap agama masing-masing.

Islam bukan hanya bertujuan mempertahankan kewujudannya sebagai agama, tetapi juga mengakui kewujudan agama-agama lain dan memberinya hak untuk hidup berdampingan sambil menghormati penganut agama lain.

Sumber: Al-Falah Madani

Artikel Berkaitan

Tanggapan salah terhadap dialog

Apabila disebut dialog antara agama, sebahagian besar masyarakat Malaysia khususnya orang Islam memandang negatif dan menolak keberadaan mekanisme dialog antara agama di

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *