Home » Persuasif » Ghairah agama yang perlu diharmonikan

Ghairah agama yang perlu diharmonikan

Tujuan Islam adalah maslahah, rahmah, hikmah dan keadilan. Ia membawa rahmah kepada semua kaum di negara ini. - Foto FMT

Mungkin didorong oleh kepentingan kelangsungan hayat politik, apa saja isu yang berbangkit dalam kehidupan akan disorot dengan sorotan perseptif agama secara totok.

Lebih parah apabila sorotan itu berlaku melalui teropong aqidah yang menatijahkan iman atau kufur, atau sorotan hukum yang menatijahkan dosa besar dan neraka.

Padahal urusan kehidupan ini begitu rencam sehingga Nabi SAW sendiri menyifatkan manusia lebih tahu tentang urusan kehidupan dunia mereka.

Urusan paksi agama adalah urusan nas. Jika berlaku ijtihad dalam urusan sebegitu, ruangnya adalah ruang pelaksanaan bukan dalam ruang penetapan cara, syarat atau paksinya. Ketiga-tiga ruang itu milik nas.

Betul, secara asas semua urusan kehidupan ada kaitan dengan agama, namun ada perkara yang kaitannya bersifat cabang sahaja.

Bahkan keterkaitannya itu lebih sesuai disorot dengan sorotan urusan kehidupan atau hubungan sesama manusia atau dengan alam.

Daun misalnya, memang ada kaitan dengan pokok, tapi jika sehelai daun gugur, pokok tetap dipanggil pokok.

Tidak terjejas identiti pokok lantaran gugur 100 helai daun, atau patah sebatang ranting. Pokok tidak terjejas kesuburan lantaran keguguran sehelai daun bahkan kadang-kadang daun perlu dibuang untuk menjamin kesuburan pokok.

Demikian halnya dengan urusan agama. Ada urusan agama yang tidak boleh diamal jika memudaratkan kehidupan. Contohnya menutup aurat yang menjadi tuntutan agama secara jelas melalui nas.

Bagi seorang wanita yang perlu bersalin, membuka aurat di hadapan seorang doktor hatta doktor lelaki yang kafir sekalipun adalah perlu demi kelangsungan kehidupan.

Dalam solat, misalnya membaca surah al-Sajdah dalam solat Subuh pagi Jumaat adalah sunnah. Namun begitu, ia tidak diamal secara totok begitu sahaja.

Jika membaca surah itu menatijahkan orang ramai tidak dapat ke masjid bersolat jamaah lantaran halangan pekerjaan atau kesihatan, elok surah itu tidak dibaca.

Amalan sebegitu bukan bermaksud mengenepikan agama, atau meremehkan agama, atau menghina agama, bahkan itulah tuntutan agama.

Kerana agama turun dari langit bukan untuk menyusahkan manusia tetapi mensejahterakan kehidupan mereka.

Justeru, isu-isu yang melingkari kita perlu dilihat daripada pelbagai perspektif. Misalnya isu Zakir Naik, itu isu hubungan diplomatik antara negara, bukan isu memusuhi dakwah kepada agama.

Isu tulisan jawi, isu budaya Melayu yang mahu diterapkan dalam sistem pendidikan bangsa lain, bukan isu bermusuh dengan agama dari sudut anti tulisan jawi yang menjadi medium pengajian agama di pondok-pondok.

Isu rehal, itu isu keselamatan yang mengancam nyawa, bukan isu tolak al-Quran atau menghina kitab itu hanya kerana kitab itu diletak di atas rehal untuk dibaca.

Sama macam isu MB Terengganu dengan Vincent Tan, itu isu bisnes, bukan isu keterlibatan dengan judi yang diharam oleh agama. Amat tidak tepat jika disorot dari sudut MB itu merestui aktiviti judi.

Isu ambil susu lori terbalik, itu isu sosial kerana wujud segelintir orang yang tidak cakna kesusahan orang lain. Bukan isu mereka tidak ada agama atau tidak hiraukan soal halal haram dalam makanan.

Yakinlah, jika lori Calsberg yang terbalik, mereka tak kisah pun bahkan akan meludah mungkin ketika melintasi lokasi kejadian. Jika nasib tak baik drebar lori akan dipukul kerana bawa muatan barang-barang yang dilaknat oleh agama.

Membenci arak memang tuntutan agama tetapi itu tidak mewajarkan drebar lorinya dipukul kerana isu itu perlu disorot dari sudut lain. Mungkin sahaja kerana kejahilan, keterdesakan hidup, dipaksa atau sebagainya.

Maksudnya, situasi itu perlu disorot dari sudut lain dan aplikasi tuntutan membenci arak seperti yang termaktub dalam hadith perlu mengambilkira keutamaan dan realiti.

Janganlah semua perkara dimasukbakul ke dalam isu agama, apatah lagi isu aqidah atau ibadah secara totok.

Hal inilah yang menyebabkan perbincangan tentang kehidupan manusia akan berlegar-legar di sekitar ruang iman kufur, halal haram dan sah batal.

Padahal di sana ada ruang yang lebih luas iaitu ruang kemaafan – mantiqah al-Afwi atau ruang yang tidak ditangani oleh nas secara langsung, atau pun ditangani oleh nas secara langsung tetapi dalam aplikasinya ruang ijtihad dibuka.

Kalau benar sekalipun nak jadi pejuang agama, berpada-padalah. Jadilah pejuang agama yang faham agama dengan kefahaman yang benar, bukan menjadi pejuang hasil dorongan semangat dan sentimen semata-mata.

Semua perkara memang ada kena mengena dengan agama, tetapi mengklasifikan setiap isu dengan klasifikasi yang betul juga sebahagian daripada agama.

Agama ini mudah, indah dan adil. Tujuan agama ini ialah maslahah, rahmah, hikmah dan keadilan. Jika hilang semua itu atau salah satu daripadanya, jika dilabel dengan label agama sekalipun, atau dibawa oleh agamawan sekalipun, itu bukan agama yang sebenar.

Agama yang dibawa itu sudah bercampur-baur dengan kepentingan nafsu termasuk kepentingan nafsu politik dan kuasa.

Pendek kata, orang yang berupaya mempersembahkan agama dengan betul adalah pejuang agama, bukan islamis liberalis atau sekularis.

Yang Berusaha Ustaz Zolkharnain Abidin                                                                    Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *