Home » Langit Terbuka » Gerhana matahari cincin Khamis ini

Gerhana matahari cincin Khamis ini

Kemuncak fasa gerhana maksimum dijangka berlaku pada jam 1.19 tengah hari iaitu ketika ketinggian matahari hampir 61º dan gerhana dijangka berakhir pada jam 3.15 petang, Khamis ini. - Foto Koding.kn

KUALA TERENGGANU – Penduduk di selatan tanah air berpeluang menyaksikan fenomena gerhana matahari anulus atau cincin pada Khamis ini yang mana pada ketika itu kedudukan bulan, bumi dan matahari adalah selari.

Di Terengganu pula akan berlaku gerhana matahari separa bermula jam 11.24 pagi pada hari yang sama.

Pensyarah ilmu falak dari Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Madya Dr Baharrudin Zainal berkata, gerhana anulus itu berlaku serentak, dengan bulan menyentuh pinggir barat matahari kemudian menutupi dan meninggalkan matahari.

Menurutnya, laluan tengah antumbra bermula seketika selepas waktu syuruk di Oman, merentasi Laut Arab mendekati ke selatan India dan seterusnya ke Sumatera tengah di Pekanbaru, sebelum berada di selatan Singapura.

“Bahagian utara bayang antumbra ini menjangkau sehingga ke Tanjung Piai, Serkat dan berakhir di sempadan kawasan Teluk Kerang di Pontian ke Pengerang, Johor. Selepas itu, bayang antumbra merentasi laut China Selatan dan mencecah di Borneo, sebelum menyeberang lautan Celebes dan lautan Pasifik dan berakhir ketika waktu maghrib di barat kepulauan Guam.

“Bayang-bayang antumbra bula yang melebar, menyebabkan gerhana separa ini boleh kelihatan pada hampir semua kawasan di Asia Tenggara,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Orang ramai dapat menyaksikan matahari berbentuk sabit ketika kemuncak gerhana separa di Kuala Terengganu.

Jelasnya, di Kuala Terengganu, ketika maksimum, berlaku fasa gerhana 82 peratus, iaitu paling maksimum semenjak 22 Ogos 1998.

Rakyat negeri ini dijangka mula dapat menyaksikan detik permulaan gerhana separa tersebut pada jam 11.24 pagi iaitu ketika matahari berada setinggi 51º.

Kemuncak fasa gerhana maksimum pula dijangka berlaku pada jam 1.19 tengah hari iaitu ketika ketinggian matahari hampir 61º dan gerhana dijangka berakhir pada jam 3.15 petang.

“Apa yang menarik, berbanding dengan gerhana matahari penuh yang membolehkan hembusan gas dan semarak api matahari, manakala ketika gerhana matahari anular hanya lingkaran bergelang matahari yang kelihatan,” katanya.

Dr Baharrudin berkata, untuk menghayati fenomena ini, pihak UniSZA juga akan menghantar dua kumpulan pelajar ke lokasi tengah gerhana, iaitu kumpulan pertama seramai tujuh pelajar akan mencerap di Dandigul, Tamil Nadu, India sementara kumpulan kedua akan berada di Masjid Kampung Serkat, Pontian, Johor.

Tambahnya, Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu di Chendering juga akan melakukan cerapan dan dibuka untuk orang awam manakala orang ramai juga dinasihatkan untuk melihat gerhana matahari ini dengan mengikut cara yang selamat.

Umat Islam juga dianjurkan untuk menunaikan solat sunat gerhana atau kusuf bermula jam 11.24 pagi sehingga gerhana berakhir. – Sinar Harian

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *