SHAH ALAM – Rakyat negara ini berpeluang menyaksikan Gerhana Bulan Penuh paling lama abad ini iaitu pada 28 Julai ini.
Timbalan Ketua Pengarah, Agensi Angkasa Negara (ANGKASA), Samsuddin Omar berkata, fenomena gerhana bulan penuh itu adalah yang kedua berlaku tahun ini dan akan kelihatan di Australia, Asia (termasuk Malaysia), Afrika, Eropah serta Amerika Selatan.
“Fenomena ini akan bermula dari jam 1.14 pagi dan berakhir pada jam 7.28 pagi. Fasa gerhana bulan penuh akan berlangsung selama 1 jam 42 minit 57 saat dan tempoh ini menjadikannya paling lama bagi abad ke-21 (2001 hingga 2100).
“Tempoh paling lama bagi gerhana bulan penuh boleh berlaku adalah selama 1 jam 47 minit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, gerhana bulan penuh berlaku apabila matahari, bumi serta bulan berada di kedudukan sebaris dan keseluruhan bulan merentasi bayang umbra bumi.
“Ketika berlakunya gerhana, bulan dengan perlahan-lahan bertukar daripada warna putih mutiara yang biasa dilihat kepada warna kemerahan dan kembali ke warna asalnya dalam tempoh lima jam.
“Warna kemerahan yang akan dapat dilihat ketika fasa penuh gerhana bulan pada 28 Julai 2018 berbeza dari gerhana bulan penuh lain, bergantung kepada beberapa faktor termasuk keadaan di atmosfera atas bumi dan kedudukan bulan di sepanjang orbitnya,” katanya.
Samsuddin berkata, gerhana bulan pada 28 Julai ini boleh dilihat dari mana-mana kawasan di Malaysia bergantung kepada keadaan cuaca setempat.
Bagaimanapun katanya, tidak semua tempat di Malaysia dapat melihat keseluruhan fasa gerhana itu kerana bulan terbenam lebih awal sebelum fasa tertentu berakhir.
Katanya, di Malaysia, fasa penumbra bermula pada jam 1.14 pagi diikuti separa bermula (2.24 pagi); penuh bermula (3.30 pagi); maksimum (4.21 pagi); penuh berakhir (5.13 pagi); separa berakhir (6.19 pagi) dan penumbra berakhir (7.28 pagi).
“Secara amnya, penduduk di Malaysia akan dapat melihat hampir keseluruhan fasa gerhana sejak dari mula berlakunya fenomena ini sehinggalah bulan terbenam (bergantung kepada lokasi di mana berada).
“Ini bermakna lokasi pencerapan yang paling baik adalah di lokasi yang berada paling Barat.
“Antara lokasi bandar terpilih untuk penampakan gerhana adalah Kota Kinabalu, Kuching, Kuala Terengganu, Johor Bharu, Kuala Lumpur, Alor Star dan Langkawi,” katanya.
Samsuddin berkata, beberapa aktiviti turut dijalankan di Observatori Negara Langkawi sempena fenomena berkenaan bermula jam 10 malam (27 Julai) hingga 6.30 pagi esoknya.
“Antara aktiviti yang dijalankan adalah pencerapan planet Musytari, Zuhal dan Marikh; taklimat gerhana bulan dan pencerapan awam gerhana bulan penuh,” katanya. – BERITA HARIAN ONLINE
KOMEN