Home » Langit Terbuka » Gereja lama dijadikan masjid, lambang kerharmonian penduduk Sabah

Gereja lama dijadikan masjid, lambang kerharmonian penduduk Sabah

Gereja yang dibina sekitar tahun 1930-an itu telah dibeli pada 1969 sebelum diubahsuai menjadi sebuah masjid. - Astro AWANI/Tan Su Lin

KOTA KINABALU: Azan telah berkumandang menandakan waktu solat zohor.

Amin, 12 tahun, kelihatan sibuk menyusun kasut-kasut jemaah di tangga Masjid Bandar Kota Kinabalu.

Kemas susunan pelajar tahfiz dari Pusat Pengajian Tahfiz Al-Quran As-Syafibiyah itu, setiap pasang kasut disusun rapi mengikut kategori; kasut sebaris dan selipar sebaris.

Ditanya mengapa disusun begitu, dia hanya membalas ringkas “nampak kemas,” katanya sambil tersipu malu apabila dipuji ketelitiannya itu.

Penulis tercari-cari bekas tulisan ‘SDA’ pada bangunan itu kerana dikhabarkan masjid itu dahulunya merupakan sebuah gereja lama Seven Days Adventist (SDA).

Gereja yang dibina sekitar tahun 1930-an itu telah dibeli pada 1969 sebelum diubahsuai menjadi sebuah masjid.

Tanda salib diganti dengan simbol sabit dan bulan.

Pada hari ini, masjid berkenaan berada di bawah kendalian Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA).

Menurut Setiausaha Masjid USIA Bandar Kota Kinabalu, Damit Tajudin, 55 tahun, masjid berkenaan dahulunya dikenali sebagai masjid SDA kerana sejarahnya itu.

“Dahulu kita panggil masjid ini masjid SDA dan kita kekalkan waktu itu nama masjid SDA sehingga mufti negeri berkata masjid SDA harus ditukar nama jenama masjid orang Islam,” katanya.

Sebab sebenar mengapa gereja itu dijual tidak diketahui.

Menurut Damit, tindakan membeli gereja itu dibuat Yang Dipertua USIA ketika itu, Tun Datu Mustapha Datu Harun pada harga kira-kira RM1.05 juta.

Namun sejak gereja itu diambil alih oleh pihak masjid, katanya tidak pernah timbul sebarang pertelingkahan atau salah faham dari mana-mana pihak.

“Rakan-rakan kita dalam Kristian ok juga. Tidak ada perasaan marah, benci atau tidak suka. Kita masih mempunyai hubungan baik mereka.

“Mereka sedia maklum bahawa gereja itu telah dibeli dan diubahsuai tetapi hubungan kami dengan umat Kristian tiada masalah sebab di sini kami bertoleransi dari segi agama,” katanya.

Malah di Sabah katanya, ia perkara normal jika kedudukan gereja dan masjid adalah berjiran.

“Kalau lihat di pedalaman, sebelah adalah gereja dan sebelah lagi masjid yang hanya dipisahkan oleh pagar. Jadi ini perkara yang sangat normal,” katanya lagi.

Inilah contoh keharmonian kaum dan agama yang cukup sinonim dengan rakyat Sabah.

Kini bangunan tersergam indah di atas bukit itu menjadi kebanggaan umat Islam di Sabah sebagai bukan sahaja sebagai tempat beribadah tetapi pusat kegiatan dakwah di Kota Kinabalu.

Adalah menjadi harapan Damit agar pemimpin masa akan datang memperjuangkan suara dari pelbagai kaum dan agama dalam menjaga keamanan dan keharmonian di negeri di bawah bayu.

Dicari-cari tulisan SDA masih tidak jumpa, lalu Amin menuding ke arah menara masjid itu.

Setelah lama diperhatikan, penulis akhirnya berjaya mengesan bekas huruf ‘SDA’ pada dinding menara itu.

Namun ia tidak begitu jelas kerana telah dicat dengan warna yang sama dengan dinding iaitu kelabu. – ASTRO AWANI

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *