Marilah kita tanamkan dalam diri kita perasaan takut dan gerun kepada Allah s.w.t. Takut dengan maksud yakin dan percaya, bahawa tiada makhluk lain yang mampu menandingi kekuasaan dan hanya Allah s.w.t sahajalah tempat berserah dan memohon pertolongan.
Dalam ayat 13 surah al-Kahfi, Allah memaparkan ciri-ciri cemerlang yang perlu ada dalam diri para remaja kita. Allah s.w.t menggunakan kalimah “Fitiah” yang bermaksud golongan muda. Ayat tersebut memaparkan kekentalan iman yang wujud dalam diri tujuh orang pemuda yang melarikan diri daripada raja yang zalim, yang ingin menggugat keimanan mereka kepada Allah s.w.t. Tujuh orang pemuda ini berjaya membuktikan nilai dan kualiti iman yang wujud dalam diri mereka, keyakinan yang sepenuhnya terhadap kekuasaan dan kebesaran Allah s.w.t, keteguhan prinsip dan pendirian serta semangat juang yang tinggi dan mengagumkan. Inilah ciri-ciri yang seharusnya dimiliki oleh generasi muda kita. Jika generasi muda kita memiliki ciri-ciri seperti ini, maka sudah tentu kita tidak akan merasa risau dan takut sebagaimana kita merasa risau dan takut pada hari ini.
Etika dan akhlak mulia yang sewajarnya dimiliki oleh generasi muda bukan sahaja diceritakan oleh al-Quran, tetapi juga banyak ditekankan dalam hadis-hadis Nabi s.a.w. Antaranya Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara, usia mudamu sebelum tua, masa sihatmu sebelum sakit, masa kayamu sebelum papa, masa hidupmu sebelum mati, masa lapangmu sebelum sibuk.” (Riwayat at-Tirmidzi)
Remaja cemerlang ialah remaja yang mempercayai etika dan akhlak yang mulia. Setiap tingkah laku mereka disenangi oleh semua orang.Mereka menghormati orang lain dan orang lain menghormati mereka. Antara ciri-ciri remaja cemerlang yang sewajarnya dimiliki oleh setiap remaja Muslim ialah:
Pertama – Berusaha untuk meningkatkan pengetahuan mengenai ajaran agama
Remaja sewajarnya dididik dan dibekalkan dengan pengetahuan agama yang mencukupi bagi menghadapi godaan dunia yang mengasyikkan dan melalaikan.
Pengetahuan agamalah yang akan menyelamatkan seseorang remaja itu daripada terjebak dalam perkara munkar dan maksiat. Dengan pengetahuan agamalah seseorang remaja itu dapat membezakan antara yang baik dengan yang buruk, yang halal dengan yang haram. Agama merupakan benteng terakhir bagi seseorang remaja dalam menghadapi cabaran dan pengaruh luaran yang boleh menggugat keimanannya.
Kekuatan fizikal dan mental seseorang itu belum tentu dapat menyelamatkan daripada tipu daya dunia. Justeru, program-program yang boleh menambahkan pengetahuan remaja mengenai ajaran agamanya seharusnya diperbanyakkan seperti mengadakan kelas-kelas agama dan majlis ilmu di masjid-masjid.
Kesedaran remaja mengenai tanggungjawabnya sebagai khalifah Allah di muka bumi ini perlu dijelaskan dan ditekankan. Jika aspek agama ini diabaikan, percayalah, sebesar mana perbelanjaan yang digunakan untuk program-program pembinaan sahsiah remaja, ia pasti akan gagal.
Kedua – Remaja yang mempunyai semangat juang yang tinggi, bersemangat waja, berdaya saing,tidak mudah menyerah kalah dan mempunyai ketahanan diri yang kental
Remaja yang cemerlang ialah remaja yang akan berusaha bersungguh-sungguh dan bersusaha payah untuk mencapai segala cita-citanya. Dia tidak akan berputus asa atau merasa kecewa disebabkan sesuatu kegagalan. Jika gagal dia akan menghadapinya dengan penuh kesabaran dan berdoa kepada Allah s.w.t. Tidak ada istilah gagal dalam hidupnya. Apabila dia gagal sekali, tidak bererti akan gagal selama-lamanya.
Remaja yang gagal pula ialah remaja yang lemah, tidak berdaya dan mudah berputus asa jika ditimpa kesusahan atau kegagalan. Pernah kita mendengar gesaan Rasulullah s.a.w supaya kita menjadi mukmin yang kuat. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang mukmin yang kuat adalah lebih baik dan dikasihi oleh Allah s.w.t daripada mukmin yang lemah. Dalam setiap kebaikan berusahalah untuk mendapatkan apa yang mendatangkan kebaikan kepada engkau dan mohonlah pertolongan daripada Allah dan janganlah berasa lemah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ketiga- Remaja yang tahu mengasihi masa lapangnya dengan perkara-perkara yang mendatangkan kebaikan dan manfaat kepada dirinya
Dia tahu, bahawa masa yang hilang tidak dapat dikembalikan semula. Dia juga tahu tanggungjawab dan hak-hak terhadap Tuhannya, dirinya, keluarganya dan masyarakatnya. Contohilah bagaimana Imam Ahmad ibni Hanbal menguruskan masanya. Ibrahim Al-Harbi pernah menceritakan:
“Aku menemani Imam Ahmad bin Hanbal selama 20 tahun pada musim panas dan sejuk, malam dan siang, tetapi aku tidak pernah menemuinya dalam satu hari melainkan hari tersebut lebih baik daripada hari sebelumnya.”
Remaja yang gagal ialah mereka yang muka membuang masa seperti duduk melepak di kafe-kafe siber, menjadi mat rempit, menyalahgunakan dadah, membaca buku-buku yang tidak berfaedah, menonton video lucah, berhibur secara melampau dan menyalahi syarak, mengganggu ketenteraman awam, menyakiti, mengambil hak orang lain serta merosakkan harta benda awam.
Marilah sama-sama kita menggerakkan usaha bersepadu bagi mencegah mereka daripada terjerumus ke lembah kemaksiatan dan kemungkaran. Ruang-ruang untuk mereka melakukan kemunkaran dan kemaksiatan harus ditutup dan dihalang. Aktiviti-aktiviti hiburan melampau yang tidak mendatangkan faedah kepada pembangunan diri mereka harus dihentikan. Program dan rancangan television yang melalaikan dan menggalakkan pergaulan dan percampuran bebas antara lelaki dan perempuan mesti dihapuskan sama sekali.
Jika usaha-usaha ini tidak dilakukan, maka program-program yang dirancang untuk pembangunan dan pembinaan diri remaja yang menelan jutaan ringgit hanya akan tinggal slogan tanpa mendatangkan faedah sama sekali.
KOMEN