Home » Langit Terbuka » Gaya hidup ‘childfree’ makruh mengikut syarak – Mufti

Gaya hidup ‘childfree’ makruh mengikut syarak – Mufti

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Hukum suami isteri yang tidak mahu memiliki anak secara sengaja yang semakin menjadi trend gaya hidup masyarakat yang menggunakan alasan ‘childfree’ untuk bebas daripada tanggungjawab adalah makruh mengikut syarak.

Perkahwinan secara asasnya adalah fitrah dan memiliki tujuan tersendiri dalam syariat termasuk memiliki anak, selain Islam tidak mewajibkan atau melarang pasangan memiliki cahaya mata.

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, golongan yang terpengaruh dengan fahaman itu hingga menjadikannya sebagai gaya hidup, jelas bertentangan fitrah manusia dan tujuan utama perkahwinan disyariatkan.

“Jika pasangan bersetuju tidak memiliki anak tanpa sebarang sebab dibenarkan syarak seperti keinginan untuk bebas daripada sebarang tanggungjawab, maka perbuatan ini adalah makruh.

“Fahaman ‘childfree’ bertentangan dengan tujuan utama perkahwinan jika pasangan mengambil keputusan untuk tidak memiliki anak kerana terpengaruh untuk bebas daripada tanggungjawab.

“Malah, ia tidak bertepatan dengan sunah Rasulullah SAW,” katanya dalam kenyataan disiarkan di Facebook hari ini.

Kenyataan itu antara lain berkata, pada dasarnya persetujuan pasangan untuk tidak memiliki anak atau ‘childfree’ diharuskan jika terdapat sebab khusus.

“Hukum pasangan memilih tidak memiliki anak mengikut pertimbangan tertentu, misalnya sebab diambil kira syarak, terutama jika terdapat kemudaratan dan keuzuran seperti menyebabkan kematian, penyakit bertambah teruk dan sebagainya.

“Maka hukumnya harus dengan syarat kaedah pencegahan kehamilan tidak mendatangkan mudarat dan bertepatan dengan syarak,” katanya merujuk gaya hidup ‘childfree’ atau berkahwin tetapi tidak mahukan zuriat yang dikatakan semakin menjadi trend.

Dalam pada otu, beliau berkata hukum bertukar haram jika pasangan memilih untuk tidak memiliki zuriat sepanjang hayat, termasuk melakukan prosedur menghilangkan kemampuan reproduksi atau pemandulan kekal tanpa pengesahan doktor perubatan dan sebab dibenarkan syarak.

Sehubungan itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menyarankan pasangan ingin berkahwin atau mahu membuat perancangan keluarga untuk memahami konsep anak dalam keluarga sebagai anugerah, bukannya bebanan.

Ia turut berpotensi menjadi sumber pahala berterusan, selain bagi umat Islam perkahwinan adalah wasilah (penghubung) mencapai kesempurnaan agama.

Artikel Berkaitan

Selangor sediakan modul khas pulihkan ahli GISB

SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kini dalam fasa memulihkan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *