Home » Citra Yadim » Garis 3 teras terajui dakwah YADIM

Garis 3 teras terajui dakwah YADIM

PUTRAJAYA – Menyedari tugas dan tanggungjawab besar untuk menerajui badan dakwah ini, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia yang baharu, Yang Berbahagia Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz telah menggariskan tiga teras utama dalam pentadbirannya.

Teras pertama menurut beliau ialah mengubah pemikiran. Mengulas lanjut, beliau memberitahu ia mengenai Islam itu sendiri, supaya ramai faham tentang Islam seperti mana yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW.

“Dalam ubah pemikiran juga, ia mengenai bagaimana kita hendak sampaikan Islam, kepada orang Islam, supaya mereka yakin dan kembali menghayatinya sebagai sistem kehidupan, dan ubah pemikiran mengenai pendekatan kita bagaimana hendak sebarkan Islam kepada orang bukan Islam, sehingga mereka (yang bukan Islam) tidak merasa ia satu tekanan atau bebanan,” katanya.

Nik Omar berkata demikian dalam satu wawancara bersama wartawan portal Malaysia Gazette di pejabatnya hari ini.

Teras kedua pula kata beliau ialah nasihat. Ia menurutnya adalah mengenai nasihat menasihati antara agensi dan organisasi dalam kerajaan menurut syariat Islam.

“Dalam hal ini, sudah tentunya saya mesti menjadikan YADIM sebagai agensi yang menjadi contoh tadbir urus menurut syariat Islam, ertinya saya mesti menjadikan diri saya dan kepimpinan tertinggi YADIM dan seluruh warganya menurutinya terlebih dahulu.

“Ia tentang bagaimana pengurusan kewangan, amanah, juga tentang bagaimana hendak urus YADIM ini tanpa ada ketirisan, rasuah dan pecah amanah,” jelasnya.

Teras ketiga pula ialah mengenai operasi kehidupan menurut beliau.

“Kita adalah hamba Allah yang terikat dengan nikmat yang diberikanNya. Nikmat kehidupan , makan dan minum, bekerjaya dan sebagainya, justeru sebagai balasannya, kita dikehendaki beribadat, mengabdikan diri kepadaNya dalam segenap aspek kehidupan.

“Itu yang saya maksudkan, sebagai operasi kehidupan, berdasar kepada perintah Allah SWT,” jelas beliau.

Perkara perkara ini menurutnya adalah keutamaannya sebagai Yang Dipertua badan dakwah ini.

Menurutnya lagi, YADIM terus kekal relevan dalam dakwah di negara ini walaupun berdepan dengan ledakan teknologi maklumat dan media baru kerana pihaknya akan mengambil semua pendekatan yang bermanfaat.

“YADIM sendiri ada unit unit yang boleh kita gunakan, termasuk boleh kita bekerjasama dengan agensi lain,”jelasnya.

Dalam pada itu mengulas mengenai isu dakwah dan agama digunakan untuk mencari kekayaan dan kesenangan, Nik Omar berkata, Islam tidak melarang mencari pendapatan dengan mengajar ilmu.

“Bagaimanapun asasnya kena jelas, dakwah itu satu tanggungjawab, justeru jangan sebar ilmu untuk kepentingan sendiri,”kata beliau.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *