Home » Langit Terbuka » Gadai nyawa untuk bantu pelarian Yaman

Gadai nyawa untuk bantu pelarian Yaman

Bantuan makanan turut diberikan sukarelawan Muslim Care Malaysia (MCM) kepada pelarian Yaman yang berlindung di khemah pelarian di Maarib, Yaman. - Foto Muslim Care Malaysia

Kuala Lumpur – Tempuh perjalanan getir sejauh 600 kilometer (km) selain terpaksa melepasi 52 pos kawalan pemeriksaan semata-mata bagi menyalurkan bantuan kepada pelarian perang.

Itu antara misi sukar dilalui sukarelawan Muslim Care Malaysia (MCM) untuk sampai ke kem pelarian di Kem Madudah dan kem pelarian Maarib, Yaman baru-baru ini.

Perjalanan tambah mencabar apabila mereka perlu melalui laluan berdebu dengan suhu panas mencecah 43 darjah Celsius

Setiausaha MCM Ahmad Safuan berkata, peperangan antara tentera kerajaan dan pemberontak Houthi menyebabkan hampir dua juta rakyat Yaman menjadi pelarian.

“Antaranya adalah beribu pelarian di Kem Madudah yang melarikan diri lebih 1,000 km dari kawasan Hudaidah untuk mencari tempat perlindungan. Kini sudah memasuki tahun ke tiga mereka menagih simpati dalam bumi mereka sendiri.

“Pemandangan yang sangat jarang berlaku apabila kami melihat peminta sedekah berada di tengah-tengah jalan raya mengharapkan sumbangan.

“Mereka berjemur di bawah terik matahari termasuk anak-anak kecil yang turut berada di sisi sambil bermain tanpa mengerti betapa peritnya kehidupan mereka ketika ini,” katanya.

Menurutnya, segelintir wanita Yaman ini sanggup berdiri atau duduk sambil mengharapkan bantuan dengan menjual air sejuk kepada pemandu kenderaan yang melalui jalan raya di sana.

“Sedih melihat wanita-wanita ini sanggup berdiri menahan panas matahari serta ribut pasir. Inilah situasi sedih disaksikan ketika kami dalam perjalanan dari Seiyun ke Maarib, Yaman.

“Sepanjang perjalanan menuju ke bandar Maarib, kami melihat ramai wanita bersama anak-anak mereka silih berganti menadah tangan mengharapkan sedikit wang sumbangan. Kemungkinan besar mereka ini lahir dari 2 juta pelarian yang kini terperangkap dalam `sangkar’ kem-kem pelarian besar di sini,” katanya.

Beliau berkata, rata-rata mangsa pelarian terpaksa mendirikan khemah menggunakan pelepah tamar dan tanah selut yang tidak mampu menahan air hujan.

Menurutnya, Muslim Care Malaysia melalui Misi Qurban Care dan Misi Kemanusiaan PEACE4YEMEN memperuntukkan sumbangan hampir RM500,000 dalam usaha membantu keluarga mangsa dari kem pelarian khususnya di Maarib.

“Hasil derma simpati rakyat Malaysia, MCM berjaya menyalurkan bantuan makanan asas selain penghantaran air bersih melalui 15 lori tangki air dengan kapasiti 100,000 liter serta 100 tangki air.

“Selain itu MCM menyumbangkan daging segar melalui sembelihan kambing aqiqah termasuk bantuan dan agihan wakaf Al Quran,” katanya.

Orang ramai yang mahu bersama-sama membantu pelarian Yaman boleh menghubungi Safuan di talian 0134886447 atau Presiden Muslim Care Malaysia (MCM), Zulkifli Wahijan ditalian 0192518771 selain menyumbang melalui akaun Muslim Care Malaysia MAYBANK 564490413882. – Harian Metro

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *