Home » Langit Terbuka » Fungsi JAKIM bukan setakat jaga agama

Fungsi JAKIM bukan setakat jaga agama

JITRA: Kerajaan menafikan bersikap Islamis atau cuba menerapkan konsep Islam secara lebih kukuh dalam pentadbiran apabila memperluaskan peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ke kementerian lain di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata tuduhan yang dilemparkan segelintir orang bukan Islam itu menunjukkan mereka tidak faham kepentingan mendidik umat Islam mengenai konsep Islam sebenar.

Jelasnya, jika umat Islam tidak mendapat kefahaman dalam ajaran Islam yang tepat, adalah dibimbangi berlaku pertembungan antara masyarakat di negara ini yang lebih serius pada masa hadapan.

“Disebabkan itu pemimpin mesti dampingi ulama, pemimpin perlu bawa perubahan, bela nasib orang susah dan miskin yang teraniaya, sama ada mereka Islam atau bukan Islam.

“Di bawah Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Pendidikan, kita tingkatkan peranan JAKIM bukan setakat jaga agama sahaja, tugasnya diperluas untuk bicara mengenai ekonomi, program digital dan pendidikan agar nilai Islam diterap.

“Ini ditentang bukan Islam, ada kelompok kecil bukan Islam menulis Anwar kini menunjukkan sikap Islamis yang kukuh yang diselindunginya selama ini, dengan mengarahkan JAKIM menguasai semua sistem (pentadbiran),” katanya di sini, pada 17 Jun. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Jubli Intan Sekolah Menengah Agama (SMA) Nahdhah Hasanah, Melele, Kodiang.

Hadir sama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai’im Mokhtar dan Pengetua SMA Nahdhah Hasanah, Syeikh Mohd Jamil Sadaqi Tajuddin.

Mengulas lanjut, Anwar turut menepis dakwaan mengatakan beliau cuba membawa konsep Islam berlebihan, malah ia dapat dibuktikan apabila Kabinetnya tidak mendapat tentangan pemimpin bukan Islam lain.

Katanya, selama tujuh bulan pentadbirannya, pemimpin bukan Islam hanya bertanya mengenai apa yang dilakukan kerajaan untuk Islam, namun tidak menghalang program berkaitan Islam selepas diterangkan.

“Ini haprak punya pandangan, saya nak beritahu pada rakan bukan Islam, terima kasih atas sokongan mereka. Tetapi mereka kena faham jika umat Islam ilmunya dangkal, kecenderungannya menghukum, bersikap bengis dan keras, semua ini tak membawa rakyat mendekati Islam.

“Maka masa depan kita akan lebih celaru akibat pertembungan dua pihak. Disebabkan itu saya bentuk Yayasan Karyawan yang tugasnya menerbitkan karya besar Islam bagi memberi kesedaran dan kefahaman.

“Kerana itu kita tak boleh mendidik tanpa memahami khazanah ilmuan Melayu, bila tanya mereka mengaku punya semangat dan budaya Melayu. Apabila ditanya kitab muktabar Melayu, tak tahu,” katanya.

Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan peruntukan RM8.9 juta bagi membantu institusi pendidikan Islam di Kedah meningkatkan lagi tahap dan mutu pendidikan.

Katanya, Kerajaan Perpaduan turut menyumbang sejumlah RM1.98 juta kepada 28 pondok, tahfiz, maahad dan sekolah agama yang berdaftar di Kedah bagi menyuburkan lagi pendidikan berteraskan Islam.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM6.4 juta diperuntukkan bagi membaik pulih dan menaik taraf kemudahan pendidikan bagi institusi pendidikan Islam termasuk Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA).

“Kita juga luluskan sejumlah RM604,180 kepada 36 institusi pendidikan Islam ini untuk tujuan kursus dan latihan guru serta bantuan pendidikan seperti meja, kerusi, almari, projektor, papan putih dan kabinet buku.

Selain itu, kerajaan bersetuju meluluskan sumbangan berjumlah RM2.94 juta kepada 588 masjid kariah di 12 daerah seluruh negeri Kedah yang berdaftar di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK). – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *