PUTRAJAYA – Forum Antarabangsa ZhengHe (ZIF) boleh digunakan untuk menjadi medan mengeratkan hubungan antara China dan komuniti Islam global.
Menurut pakar dari Pejabat Penyelidikan Islam, Akademi Sosial Sains China, Li Lin, forum antarabangsa berkenaan bukan sahaja amat bersesuaian untuk tujuan itu, malah ia adalah platform terbaik untuk menjelaskan pelbagai isu yang melibatkan China dan negara Islam di seluruh dunia.
“Mungkin selepas ini ZIF boleh dianjurkan oleh Persatuan Cina Muslim di China dengan kerjasama pihak di Malaysia, atau mungkin oleh badan bukan kerajaan yang bersesuaian di Malaysia seperti Persatuan Cina Muslim Malaysia.
“Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) juga boleh terlibat, kita boleh bawa sarjana Muslim dari China ke negara ini, dan YADIM juga boleh lakukan perkara yang sama ke China,” katanya dalam satu sesi perbincangan di sini hari ini (21 Jun 2019).
Perbincangan dan pertukaran idea itu dilaksanakan sempena lawatan delegasi dari China itu ke YADIM. Seramai tujuh orang peserta mewakili beberapa institusi dari China menyertai lawatan berkenaan yang diketuai oleh Prof Ruan Zongze dari Institut Kajian Antarabangsa China.
Dalam perbincangan berkenaan, YADIM diwakili oleh Timbalan Yang Dipertuanya, Yang Berusaha Ustaz Zolkharnain Abidin, Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Mohamad Raimi Ab. Rahim serta kakitangan dan pegawainya.
Kunjungan berkenaan antara lain adalah untuk mengeratkan hubungan antara China dan Malaysia. Dalam sesi perbincangan yang diadakan, kedua pihak saling bertukar pandangan mengenai pelbagai isu, khususnya melibatkan hal ehwal Islam antara kedua negara.
Turut hadir ialah wakil wakil beberapa badan bukan kerajaan seperti Majlis Belia Malaysia, IKRAM,NUNJI, HALUAN dan PERFORMD.
Menyentuh lanjut mengenai ZIF Lin berkata, forum berkenaan boleh digunakan oleh negara negara Islam seperti Malaysia bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai Islam di China.
Tambah beliau, melalui hubungan baik antara China dengan negara negara Islam, pihaknya tiada masalah untuk berbuat demikian.
“Saya teringat seorang rakan sejawat dari Mesir yang pernah berkata, kenapa kita mesti mendapatkan maklumat dan berita dari sumber media negara Barat, sedangkan sesama kita boleh berkomunikasi secara terus ?,”.
ZIF merupakan sebuah forum yang membincangkan tentang ekonomi dan perkembangan sosial di China dan komuniti Islam global.
Siri ZIF yang terkini bakal diadakan untuk kali kelima di Universiti Islam Negeri Sunan Ampel, Surabaya, Indonesia pada 15 hingga 17 Julai ini.
Ia dinamakan sempena nama seorang laksamana lagenda dari China bernama ZhengHe (atau Cheng Ho) yang berlayar ke banyak negara Islam termasuk Melaka sekitar abad ke 15 bagi menjalin hubungan diplomatik.
KOMEN