Home » Wacana » Formula Khulafa’ ar-Rasyidin

Formula Khulafa’ ar-Rasyidin

sumber

Menjadi pemimpin khususnya pemimpin dalam komuniti yang berskala besar ternyata bukan satu tugas yang mudah. Ia bukan satu kemasyhuran. Ia juga bukan untuk merajai kekuasaan. Ia adalah amanah yang Allah SWT pertanggungjawabkan supaya menjaga kesejahteraan dan kemaslahatan seluruh manusia, makhluk dan sumber alam yang berada di bawah tadbir selianya.

Tugas pemimpin adalah termasuk melaksanakan perundangan Islam, menjalankan sistem ekonomi Islam, menjaga keselamatan dan kebajikan rakyat serta menyediakan kemudahan awam yang lengkap.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad), dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanat-amanat yang diamanahkan ke atasmu, sedang kamu mengetahui ( Al Anfaal 8: 27).

Dalam dunia akhir zaman ini, kita sering ingin mencari pemimpin sesempurna Baginda Rasulullah SAW. Di bawah kepimpinan baginda sebagai ketua negara,  Baginda telah berjaya menyeimbangkan peranan sebagai pemimpin agama dan pemimpin negara. Baginda ternyata telah mencipta titik keharmonian dan perpaduan di kalangan masyarakat yang berbilang kabilah. Matlamat Baginda untuk mencapai keredhaan Allah SWT telah menjadikan kepimpinan Baginda mengikut lunas dan kaedah yang telah digariskan oleh Allah SWT.

Setelah kewafatan Rasulullah, ketua negara telah digantikan oleh para Khulafa’ Ar-Rasyidin. Kemudian, lahir pula empayar kekuasaan Bani Umaiyah yang telah mengamalkan prinsip monarki dalam memilih pemimpin. Bebarapa orang khalifah selepas itu gagal meneruskan kesinambungan kegemilangan yang ditinggalkan. Namun, sejarah telah melakar kemunculan Khalifah Umar bin Abdul Aziz sehingga digelar Khulafa’ Ar-Rasyidin kelima. Beliau mengambil takhta khalifah selepas 56 tahun negara Islam mengalami kegoyahan pemerintahan ekoran daripada kewujudan khalifah yang tidak bertanggungjawab dalam mengurus negara.

Kepimpinan Rasulullah SAW diiktiraf sebagai kepimpinan terbaik dalam lipatan sejarah dunia. Legasi tersebut diteruskan pula oleh Khulafa’ Ar-Rasyidin yang telah melaksanakan pelbagai usaha contohnya dalam usaha menangani golongan murtad, menubuhkan Majlis Syura, membukukan mashaf al-Quran dan melebarkan empayar kekuasaan Islam.

Pemerintahan mereka mencapai tahap kejayaan yang amat dikagumi dan digeruni oleh kuasa luar. Kemajuan yang dicapai meliputi pelbagai bidang termasuk pentadbiran, sosial, politik, ekonomi dan pendidikan. Apakah formula mereka? Bolehkah kita menerap formula yang telah diaplikasikan oleh para Khulafa’ selama 30 tahun itu bagi melahirkan sebuah kepimpinan yang amanah dan telus sebagaimana yang diperintah oleh Allah SWT?

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh menyerahkan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan apabila kamu menetapkan hukum di antara manusia, hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah sebaik-baik yang memberi pengajaran kepadamu. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar.” (An-Nisa’ 4:58)

Penghjrahan Rasulullah SAW telah membawa kepada pembukaan kota Madinah yang kemudiannya telah menjadi pusat pemerintahan Islam selepas itu. Sumber ekonomi penduduk Madinah pada waktu itu adalah pertanian dan penternakan. Tanah di kota Madinah dikatakan sangat subur dan sesuai untuk aktiviti bercucuk tanam. Antara hasil tanaman yang diusahakan adalah seperti kurma, anggur, barli dan gandum.

Pada zaman Khulafa’, kerajaan Madinah mempunyai sumber ekonomi yang kukuh dan boleh dinikmati oleh pelbagai lapisan masyarakat. Kepentingan pengurusan ekonomi ini dilihat sebagai kunci kepada kejatuhan dan pembangunan sesebuah negara. Ia amat berkait rapat dengan kaedah pengurusan dan penjanaan kewangan negara tersebut.

Kegagalan mengurus akan menyebabkan sumber negara tidak dapat dijana sebaiknya. Kita lihat dalam dunia yang serba maju ini, masih ada lagi negara-negara yang tersenarai sebagai negara miskin akibat daripada permasalahan dalaman yang tidak pernah selesai dan kegagalan pemimpin menggembleng ekonomi negara. Negara Somalia dan Afghanistan merupakan antara negara yang rakyatnya masih ketinggalan dalam banyak perkara termasuk pendidikan dan kemudahan asas yang kondusif.

Menyingkap kepimpinan Khulafa’ Ar-Rasyidin yang diterajui oleh Khalifah Abu Bakar as-Siddiq, Khalifah Umar bin al-Khattab, Khalifah Uthman bin Affan dan Khalifah Ali bin Abi Talib, kita dapat mengkaji apakah yang telah dilaksanakan oleh keempat-empat khalifah ini dalam usaha untuk mengekalkan kecemerlangan kepimpinan yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAW khususnya dalam pengurusan harta negara di Madinah pada ketika itu?

Kemajuan ekonomi di zaman khalifah ini dilihat semakin berkembang ekoran daripada perluasan kuasa yang dilaksanakan oleh Khalifah Umar dan Uthman. Tentera Islam telah berjaya menundukkan Syiria dan Palestin, membebaskan negeri-negeri di wilayah Iraq juga membebaskan Baitul Maqdis, Palestin dan Mesir. Begitu juga jajahan takluk telah berkembang ke Afrika Utara (Libya), kawasan timur (Turkistan) dan beberapa kawasan India termasuk menawan Pulau Cyprus.

Pada zaman Rasulullah dan Khulafa’, sumber pendapatan kerajaan Madinah datang daripada kutipan zakat, pengurusan tanah, penguatkuasaan cukai, pertanian, jizyah, kharaj, usyur dan ghanimah serta wang sedekah.

Sumber-sumber ini kemudiannya diselia oleh satu badan yang diberi nama baitul mal yang berperanan menyelenggara pendapatan dan perbelanjaan negara serta menjadi tempat penyimpanan barang-barang berharga seperti emas, perak dan harta-harta amanah.

Penggunaan Baitul Mal pada zaman Rasulullah SAW dan Abu Bakar masih belum menyeluruh memandangkan jumlah sumber pendapatan kerajaan masih terhad. Walau bagaimanapun, ketika Saidina Umar memegang tampuk pemerintahan, beliau telah menjadikan baitul mal sebagai institusi penting dengan mewujudkan pengurusan yang sistematik dan menyediakan buku kira-kira negara bagi merekod pengaliran wang keluar dan masuk. Saidina Uthman dan Saidina Ali kemudiannya meneruskan legasi kedua-dua khalifah sebelum mereka dalam menangani pengurusan baitul mal.

Selain daripada menyelia sepenuhnya perbelanjaan dan pendapatan negara secara rapi dan teliti, keempat-empat mereka ternyata mempunyai sifat amanah yang amat tinggi. Sifat amanah yang dimiliki oleh Saidina Abu Bakar amat terserlah melalui kata-kata beliau sebaik sahaja dilantik sebagai khalifah yang pertama selepas kewafatan Rasulullah SAW; “Wahai manusia, sesungguhnya saya telah diserahkan dengan urusan kamu sedangkan saya bukanlah yang terbaik untuk kamu. Sekiranya saya bertindak baik, maka bantulah saya, jika saya tidak betul, luruskan saya. Kebenaran itu amanah, pendustaan itu khianat.”

Begitu juga dengan Saidina Umat tatkala memikirkan tentang keadaan rakyat yang berada dalam kesusahan. “Aku tidak dapat tidur pada waktu siang, takut urusan rakyat tidak sesuai. Aku tidak dapat tidur pada waktu malam, takut urusanku dengan Allah SWT tidak selesai.”

Begitu juga dengan Saidina Uthman yang dikenali sebagai sahabat yang kaya raya, baik hati dan pemurah. Beliau sanggup melaburkan wang untuk membeli sebuah telaga daripada seorang Yahudi dengan tujuan mahu memberikan air percuma kepada kaum muslimin yang terpaksa membeli air dengan harga yang mahal sebelum itu. Niatnya hanya satu iaitu untuk mendapat ganjaran yang lebih besar daripada Allah SWT.

Khalifah Ali juga meneruskan pengurusan baitul mal dengan jujur dan amanah. Kehidupan sederhana yang diamalkan sememangnya dikagumi oleh para penduduk Madinah. Beliau hanya memakai pakaian bertampal-tampal dan tidak pernah menyimpan harta.  Dikisahkan, Khalifah Ali tidak pernah menggunakan wang baitul mal dalam usaha mempertahankan diri ketika berperang dengan Muawiyah bin Sufyan. Sedangkan Muawiyah pula menggunakan wang dan hadiah untuk mendapat sokongan daripada pihak lain.

Ujar Saidina Ali, “Tuhan telah mewajibkan terhadap orang kaya untuk memberi kepada mereka yang miskin apa yang mencukupi untuk mereka. Jika yang miskin kelaparan atau bertelanjang tanpa pakaian atau dalam keadaan kesusahan, ini adalah kerana yang kaya telah merampas hak mereka, dan layaklah jika Tuhan menuduh mereka yang bertanggungjawab terhadap perampasan ini dan menghukumi mereka.”

Keempat-empat khalifah ini telah menjadikan al-Quran dan al-hadis sebagai panduan dalam kepimpinan mereka. Mereka amat menitikberatkan sikap amanah, ikhlas, muraqabah (merasa diri sentiasa diperhatikan oleh Allah SWT), berilmu dan bertanggungjawab terhadap amanah yang telah ditaklifkan kepada mereka. Mereka juga telah berjaya mewujudkan dasar ekonomi yang menjamin kestabilan rakyat. Faktor luaran dan dalaman inilah yang menjadi teras kejayaan mereka dalam mentadbir kerajaan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah mendatangkan sebuah Kitab (al-Quran) kepada mereka, yang Kami telah jelaskannya atas dasar pengetahuan Kami; menjadi petunjuk dan rahmat bagi orang yang beriman.” (Al-A’raaf 7:52)

Mereka benar-benar memahami tugas dan peranan yang perlu dimainkan oleh seorang khalifah secara total. Teras yang paling penting yang dipegang oleh para Khulafa’ ini segala harta yang ada di dunia ini adalah milik Allah SWT dan mereka hanya diberi amanah untuk menjaga dan memeliharanya. Bukan dengan sewenang-wenangnya menggunakan kekuasaan untuk kepentingan diri sendiri.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan kepunyaan Allahlah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi…” (Al-Najm 53:31)

Editor.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *