Pembinaan generasi muda adalah satu aspek yang sangat penting kepada sesebuah negara. Ini kerana, generasi muda adalah pewaris negara yang kelak akan menjadi pemimpin dan menentukan hala tuju negara.
Justeru, menyedari hal demikian, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) telah mewujudkan satu program khas yang diberi nama Felo Muda Dakwah (FMD) khusus bagi membentuk pendakwah muda yang bukan sahaja berilmu tetapi juga mampu menyampaikan dakwah dengan berkesan.
Program Felo Muda Dakwah merupakan program khas yang dibina oleh Yadim untuk melatih pelapis kepimpinan muda Islam yang terdiri daripada graduan-graduan universiti dalam dan luar negara yang mempunyai latar belakang agama dan berumur di antara 24 hingga 30 tahun.
Program ini telah bermula pada tahun 2014 dan sehingga kini sebanyak empat kumpulan peserta telah dan sedang mengikuti latihan yang merangkumi latihan dalaman selama tiga bulan dan penempatan di beberapa jabatan, kementerian dan pejabat-pejabat Ahli Parlimen serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selama tiga bulan lagi.
Program ini merupakan satu inisiatif Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Razak, yang mahu Yadim melahirkan lebih ramai lagi pendakwah muda yang berjiwa Islami dalam mendepani pelbagai cabaran yang mendatang.
Melalui program Felo Muda Dakwah ini, Yadim telah mempelbagaikan bentuk latihan dalam usaha melahirkan generasi kepimpinan muda yang berwibawa, berketrampilan dan mampu berdakwah dengan berkesan kepada segenap lapisan masyarakat serta boleh menjadi ikon kepada masyarakat Malaysia.
Mereka yang terpilih sebagai Felo Muda Dakwah ini diberikan latihan intensif yang merangkumi 12 modul latihan dalam pelbagai aspek kepimpinan, antaranya keilmuan, penulisan dan berhujah secara kritis dan bernas.
Selepas tiga bulan, mereka akan mula ditempatkan di pejabat-pejabat Ahli Parlimen, ADUN, kementerian dan pejabat kerajaan yang lain sebagai sebahagian daripada bentuk latihan serta pendedahan kepada mereka mengenai realiti sebenar masyarakat di negara ini.
Sebagai Felo Muda Dakwah, mereka berpeluang menghadiri pelbagai program Yadim dan agensi-agensi kerajaan serta bertemu dengan pemimpin-pemimpin negara.
Sehubungan itu, bagi meraikan sesi tamat latihan mereka, satu Majlis Wida Felo Muda Dakwah Yadim Siri 1 2015 telah berlangsung pada 2 November lalu. Siri latihan ini merupakan siri latihan yang dijalankan kepada 22 orang FMD bagi ambilan 1 April 2015 yang merupakan kumpulan kedua FMD sejak 2014.
Salah seorang FMD, Noraini Zazally, 29, pengalaman mengikuti program FMD adalah satu pengalaman yang sangat berharga buat dirinya kerana beliau tidak mempunyai latar belakang pendidikan agama sebagaimana sebahagian besar peserta yang lain.
Beliau yang berkelulusan dalam bidang psikologi dan komunikasi massa, menyifatkan, program FMD telah menunjukkan bahawa untuk menjadi pendakwah seseorang itu tidak semestinya mempunyai latar belakang pendidikan agama.
“Dakwah boleh disampaikan dengan pelbagai cara dan tidak semestinya tanggungjawab para ustaz dan ustazah dan inilah yang dipelajari melalui program FMD ini,” katanya yang ditempatkan di pejabat Ahli Parlimen Arau dan juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Shahidan Kassim.
Norshahida Khalid, 25, pula berkata, pengalaman mengikuti program FMD adalah sesuatu yang sangat berharga dan mencabar kewibawaannya sebagai seorang wanita.
“Selama ini, saya menganggap dakwah itu sebagai satu yang mudah dilakukan tetapi apabila turun ke lapangan, bidang dakwah ini sebenarnya sesuatu yang amat besar dan memerlukan banyak pengorbanan,” katanya.
Beliau yang ditempatkan di pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja, Perak, Mohd Nizar Zakaria yang juga Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak, menyifatkan terlalu banyak perkara dipelajari sepanjang kursus enam bulan ini.
Menurutnya, program FMD telah mendedahkan betapa perlunya golongan muda sepertinya turun ke padang untuk menyampaikan dakwah kerana masih ramai lagi masyarakat di luar sana tidak begitu memahami agama dengan baik.
Sementara itu, Muhammad Fakhrur Ridzwan Othman, 25, program FMD telah mendedahkan bahawa usaha dakwah sebenarnya tidaklah semudah yang disangka kerana ia memerlukan perancangan, pendekatan yang betul serta pengorbanan.
“Sepanjang latihan program FMD ini, pelbagai modul telah diberikan kepada peserta dan ini sekali gus mendedahkan kepada para peserta dengan pelbagai ilmu baru yang tidak pernah dipelajari selama ini.
“Sememangnya melalui program ini, para FMD sentiasa didorong untuk melaksanakan dakwah dan lebih penting lagi ia dilaksanakan dengan pelbagai pendekatan dengan tujuan usaha itu mampu memberikan impak yang positif kepada masyarakat,” katanya.
Abdul Rahman Abdul Hadi, 24, berkata, secara keseluruhannya program FMD mampu melahirkan seorang daie muda yang profesional kerana sepanjang kursus para peserta telah didedahkan dengan pelbagai perkara termasuk dari segi pengurusan, kepimpinan dan disiplin.
Seterusnya, beliau berkata, apabila FMD ditempatkan di pejabat-pejabat ADUN, Ahli Parlimen atau jabatan kerajaan, mereka dapat mengaplikasi ilmu dan kemahiran yang dipelajari sehingga mereka mampu menyampaikan dakwah dengan berkesan.
KOMEN