SELAYANG – Pendakwah zaman ini perlu memiliki ilmu yang cukup untuk menghadapi pelbagai cabaran yang dihadapi terutamanya ketika berdepan dengan ancaman fitnah langit terbuka.
Agamawan, Yang Berbahagia Datuk Seri Ustaz Ahmad Awang berkata, terdapat keperluan yang amat utama dalam kemampuan dan keperluan memahami cabaran zaman ini.
Menurut beliau, fitnah di zaman teknologi ini hendaklah “di lawan” juga dengan teknologi selain keperluan memiliki aset dan tenaga kerja yang mencukupi untuk menanganinya.
“Zaman ini adalah ketika yang paling mencabar dalam sejarah dunia moden dakwah, kalau kita bercakap tentang Islam pun, macam macam yang boleh ditafsirkan sendiri, sehingga Islam yang dipelajari di sekolah, universiti, boleh dipersoalkan, hingga ke tahap itu.
“Ketika ini kalau ada sesiapa hendak menulis tentang sesuatu, dia boleh tulis, siapa boleh halang ? Walaupun ada undang, undang tetapi ramai juga yang tidak peduli,” katanya ketika ditemui YADIM di pejabatnya di sini baru baru ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, Islam itu sendiri menghadapi cabaran sepanjang zaman sejak mula usaha dakwah dilaksanakan oleh Nabi Muhammad SAW.
“Meskipun demikian, Islam pada masa yang sama memberikan panduan bagaimana untuk menghadapinya iaitu dengan kefahaman, ilmu dan kesabaran, bukannya kita menentang dakyah dan fitnah itu secara membuta tuli sahaja.
Katanya lagi, fitnah langit terbuka itu juga datang dengan hikmahnya yang tersendiri.
“Ia mencabar sejauh mana kita menghadapi perubahan untuk membawa Islam itu, justeru ancaman ini ini tidak boleh dipandang remeh,” katanya.
Dalam isu yang berkaitan, Ahmad Awang berkata, meskipun kemudahan dan keupayaan teknologi ketika ini sangat mengagumkan, kaedah pengajaran dan pembelajaran tradisional ilmu Islam seperti bertalaqi tetap kekal relevan.
“Sekadar berguru dengan buku atau baca (di internet ) mana cukup, akan timbul keraguan, betulkah yang aku baca ni ?
“Untuk memperolehi ilmu, kalau tidak berguru (bersemuka), maka seperti kata bijak pandai, gurunya nanti syaitan. Jadi sejauh mana pun kemajuan teknologi, atau media sosial, keperluan untuk belajar secara berguru atau kaedah tradisional tetap perlu ada,” tegasnya.
Malah, Ahmad Awang berpendapat, seiring dengan kemajuan teknologi sekarang, kesedaran orang ramai untuk bertalaqi semakin meningkat.
Jelasnya, ini kerana orang yang benar benar dahagakan ilmu akan mahu mendapatkannya daripada sumber yang sebenar.
KOMEN