SHAH ALAM – Fasa kedua program Musaadah Covid-19 YADIM akan bermula minggu hadapan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Tuan Kamarul Arief Tuan Soh.
Menurutnya, fasa kedua itu akan menumpukan pula kepada negeri negeri di luar Lembah Klang, terutamanya di Pantai Timur Semenanjung serta Sabah dan Sarawak.
Tuan Kamarul berkata, seperti fasa pertama, ia akan menumpukan empat kelompok iaitu keluarga ahli Tabligh yang positif Covid-19, para pelajar institusi pengajian tinggi, asnaf dan petugas barisan hadapan.
“Hari ini kita ada mesyuarat mengenai usaha ini….inisiatif ini perlu dilakukan dengan segera, justeru saya sasarkan minggu depan kita sudah boleh laksanakan program menyantuni empat golongan ini untuk fasa kedua,” ujar beliau.
Tuan Kamarul berkata demikian selepas majlis simbolik jalinan kerjasama antara YADIM dengan akhbar Sinar Harian di sini hari ini (13 April).
Program tersebut menyaksikan YADIM bekerjasama dengan Sinar Harian menyalurkan kira kira 1,000 unit Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) kepada petugas barisan hadapan, terutamanya di Lembah Klang dengan bekerjasama menerusi Tabung Bantuan Frontliners Covid-19 Sinar.
Hadir sama ke majlis tersebut ialah Pengerusi Kumpulan Karangkraft, Datuk Husammudin Yaacub, Ketua Pengarang Sinar Harian, Datuk Baharum Mahusin, Pengurus Kanan Tugas Tugas Khas Kumpulan Karangkraft, Hashim Anang dan Ketua Projek Tabung Sinar Covid-19, Auzani Fickry.
Dalam pada itu Tuan Kamarul berkata, pihaknya menerima banyak permohonan untuk bantuan dalam pelbagai bentuk dari pelbagai pihak melalui emel dan panggilan telefon.
Justeru katanya, fasa kedua perlu dimulakan segera bagi menyantuni golongan berkenaan.
Fasa kedua bantuan juga akan meliputi program program berbentuk kerohanian kepada mereka yang memerlukan.
YADIM sebelum ini menyampaikan bantuan kepada beberapa kawasan sekitar Lembah Klang untuk membantu mereka yang terjejas dengan Covid-19 seperti asnaf di Projek Perumahan Rakyat, pelajar institusi pengajian tinggi, keluarga ahli Tabligh yang positif penyakit berkenaan selain pelajar tahfiz yang menjalani kuarantin.
KOMEN