ALOR SETAR – Salah faham terhadap jenis tanah wakaf menyebabkan Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) sering didakwa gagal membangunkan harta itu di sekitar negeri ini.
Menafikan MAIK gagal membangunkan tanah wakaf, Setiausaha MAIK, Datuk Abdul Rahman Ismail, berkata sebahagian besar tanah wakaf di bawah majlis adalah tanah wakaf khas.
“Keluasan tanah wakaf khas yang hampir mencecah ratusan hektar itu diwakafkan bagi tujuan khusus seperti membina masjid, surau, sekolah dan kubur.
“Ada orang tidak berpuas hati melihat tanah wakaf kita terbengkalai begitu saja, tetapi mereka tidak faham tanah wakaf ini terbahagi kepada dua iaitu wakaf khas dan am.
“Orang tidak faham akan kata kita biar tanah yang ada potensi untuk dibangunkan, contohnya tanah wakaf di Derga yang terletak di kawasan bandar, sedangkan tanah itu telah diwakafkan khusus untuk kubur dan tapak masjid.
“Jadi ia akan terus kekal menjadi tanah wakaf untuk tujuan itu, melainkan jika tanah wakaf am baharu MAIK boleh majukan,” katanya ketika ditemui di sini.
Abdul Rahman yang juga Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK), berkata bagaimanapun terdapat tanah wakaf khas seluas 11 hektar akan dibangunkan dengan projek perumahan di Telok Chengai, Jalan Kuala Kedah di sini.
Katanya projek itu adalah yang pertama di negeri Kedah yang dibangunkan dengan kerjasama syarikat Uda Waqf Sdn Bhd.
“Individu yang mewakafkan tanah terbabit turut mahu ia dibangunkan dengan tiga masjid iaitu Masjid Tanjung Musang, Masjid Jabi dan Masjid Derga yang semuanya adalah di Alor Setar.
“Perjanjian usaha sama dilakukan pada 2016 dan kini kerja menimbun tanah sedang dilakukan bagi membina 286 unit rumah yang dijangka siap dalam tempoh empat tahun lagi,” katanya. – Berita Harian
KOMEN