Home » Langit Terbuka » Fahami hijrah Rasulullah

Fahami hijrah Rasulullah

Kitab Fiqh Al-Sirah dikaryakan Syeikh Dr Muhammad Said Ramadhan Al-Buti yang mentakrifkan hijrah di mana beliau menyatakan bahawa Rasulullah SAW tatkala hijrah ke kota Madinah bukanlah bermakna Rasulullah melarikan diri dengan hanya melarikan diri begitu, tetapi adalah atas perintah dan tuntutan Allah SWT, jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri. - Foto FB

PUTRAJAYA _ Umat Islam diminta memahami dengan jelas konteks penghijrahan  Rasulullah dari Madinah ke Makkah dan tidak sewenang-wenangnya menyamakannya dengan pelarian.

Peringatan itu diberikan oleh beberapa tokoh agama melalui laman sosial masing-masing serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berikutan ada pihak yang menyamakan penghijrahan Rasulullah dengan pelarian.

Datuk Seri Dr Zulkifli  menjelaskan Nabi Muhammad SAW meninggalkan Makkah atas perintah dan tuntutan Allah SWT, dan bukannya melarikan diri ke Madinah.

“Dalam kitab Fiqh Al-Sirah dikaryakan Syeikh Dr Muhammad Said Ramadhan Al-Buti yang mentakrifkan hijrah di mana beliau menyatakan bahawa Rasulullah SAW tatkala hijrah ke kota Madinah bukanlah bermakna Rasulullah melarikan diri dengan hanya melarikan diri begitu, tetapi adalah atas perintah dan tuntutan Allah SWT.

“Istilah hijrah berbeza sangat dalam mana-mana terma dari segi agama berbanding dengan yang lain,” katanya.

Pendakwah terkenal, Ustaz Kazim Elias berkata, mengistilahkan Nabi Muhammad lari adalah sesuatu yang kurang sopan kerana baginda tidak lari sebaliknya diperintahkan oleh Allah SWT  untuk berhijrah ke Makkah.

“ Nabi Muhammad SAW sangat-sangat dialu-alukan oleh penduduk Madinah untuk berhijrah ke sana seterusnya membina sebuah negara Islam pertama. Bukankah berlaku baiah antara Nabi SAW denagn orang-orang Madinah pada musim haji untuk menjadikan Islam sebagai asas kepada pembentukan sebuah negara.

“Baiah Aqabah inilah yang terjadi selepas beberapa kali rombongan Madinah melihat perjuangan Nabi. Mana boleh dikatakan pelarian kalau adanya baiah dan undangan serta persetujuan bersama?’’ katanya dipetik daripada laman sosial Facebook beliau.

Sementara itu, ahli akademik, Dr. Ahmad Sanusi Azmi pula menyifatkan adalah tidak wajar menyamakan Rasulullah dengan pelarian kerana penghijrahan Rasulullah bukanlah menuntut perlindungan suaka politik seperti yang kita lihat pada hari ini.

“Penghijrahan Rasulullah didahului dengan Baiah Aqabah iaitu perjanjian yang menyerahkan wewenang kuasa politik kepada Rasulullah,’’ tulisnya di dalam laman Facebook beliau.

“Perpindahan kekuasaan pemerintahan ini dapat difahami daripada butiran dialog perjanjian yang diungkapkan sendiri oleh al-Barra bin Ma’rur (pemimpin Bani Salamah), lelaki pertama yang mengucapkan lafaz perjanjian yang memegang erat tangan, Rasulullah lalu berkata: “Demi Tuhan yang mengutuskan kau sebagai Nabi, kami akan melindungi (mempertahankan) engkau seperti kami melindungi keluarga kami. Kami berjanji padamu wahai Rasulullah. Sesungguhnya kami adalah anak-anak perajurit medan perang.”

Ahli akademik dan pendakwah, Dr. Kamilin Jamilin pula menulis status pelarian tidak tepat untuk digunakan terhadap Rasulullah SAW, kerana baginda hakikatnya tidak melarikan diri ke Madinah, sebaliknya, baginda tidak keluar dari bumi Makkah sehinggalah mendapat arahan dan keizinan dari Allah.

Beliau berkata, sebab kedua mengapa status pelarian tidak sesuai ditempelkan kepada Rasulullah SAW ialah, kerana baginda telah dijemput dan dipelawa oleh kaum Ansar di Madinah ketika Perjanjian ‘Aqabah Kedua, tahun ke-13 kerasulan.

“Ketika itu ramai yang telah memeluk Islam di Madinah hasil dari dakwah Mus’ab bin ‘Umayr RA dan sahabat-sahabatnya, sehingga membuatkan mereka sering tertanya-tanya; sampai bilakah mereka akan terus membiarkan baginda di Makkah dalam keadaan sentiasa menjadi sasaran ancaman kaum Quraysy Makkah?’’ katanya dalam laman sosial Facebooknya.

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *