KUALA LUMPUR – Kematian Imam Palestin, Dr. Fadi Al Batsh yang juga pensyarah sebuah universiti swasta di ibu negara akibat ditembak dua suspek dalam kejadian di hadapan Kondominium Idaman Puteri, Jalan Meranti, Medan Idaman Setapak, di sini, turut mendapat perhatian Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Dalam satu kenyataan, Dr. Zulkifli berkata, mangsa merupakan seorang hafiz al-Quran dan pernah bertemu beliau.
“Mendengar satu berita yang cukup tragis dan memilukan di pagi hari Sabtu yang hening ini, satu berita yang meremang bulu roma kami dan cukup pilu seolah-olah halilintar yang menyambar membelah kegelapan malam yang menakutkan.
“Sahabat ini yang pernah bertemu kami, adalah seorang hafiz al-Quran, lunak bacaannya dan istiqamah pada agamanya. Matinya cukup mulia dalam menuju rumah ALLAH SWT, membelah kegelapan malam,” katanya.
Justeru, beliau berharap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat menyelesaikan kes berkenaan secepat mungkin agar mereka yang melakukannya dibawa ke muka pengadilan seterusnya hak keluarga mangsa terbela.
“Kami yakin dengan kecekapan pihak polis. Marilah sama-sama kita berdoa kepada ALLAH SWT agar rakan kita Fadi Rahimahullah ini ditempatkan dalam syurga-Nya.
“Kepada isteri dan anak-anaknya, kami ucapkan rakaman takziah dan juga kesabaran menjadi milik keluarga ini. Semoga peristiwa seperti ini tidak akan berlaku lagi di bumi Malaysia yang tercinta ini,” katanya. – SINAR HARIAN
KOMEN