Home » Langit Terbuka » Exco Selangor cabar buktikan dakwaan undang-undang syariah bakal lenyap

Exco Selangor cabar buktikan dakwaan undang-undang syariah bakal lenyap

Exco Agama Islam Selangor menegaskan, Undang Undang Syariah di negeri itu tidak mungkin terhapus memandangkan ia berada di bawah kuasa Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selain majlis dan jabatan agama negeri masih berfungsi untuk mendaulatkan syiar Islam. - Foto Media Mulia.

SHAH ALAM – Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor Dr Mohammad Fahmi Ngah mencabar individu di sebalik ciapan di aplikasi X, tampil menjelaskan dakwaan kononnya undang-undang jenayah syariah bakal lenyap dan perkara itu sudah berjaya dilakukan di negeri ini.

Beliau berkata tuduhan itu adalah fitnah dan dilihat seperti bersifat kebudak-budakan demi publisiti murahan.

“Saya cabar yang tulis itu (pembuat ciapan) kalau kita boleh berdepan beritahu apa isunya sebab saya tidak lihat ada isu undang-undang itu (syariah) akan lenyap, sebaliknya pemerkasaan itu jelas.

“Apa isu yang mengatakan undang-undang akan lenyap? Kita bagi ruang untuk enakmen-enakmen negeri berkembang mengikut peredaran zaman. Yang dia (mendakwa) bakal lenyap, mereka dah berjaya di Selangor. Apa buktinya? saya cabar mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Beliau berkata perkara sedemikian tidak mungkin berlaku di Selangor, memandangkan undang-undang syariah berada di bawah kuasa Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selain majlis dan jabatan agama negeri masih berfungsi untuk mendaulatkan syiar Islam.

“Tuanku (Sultan Selangor) masih ada, MAIS (Majlis Agama Islam Selangor) masih ada, JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor) masih ada, saya masih exco agama Islam pun ada, di mana isunya? Janganlah main politik fitnah ini, yang kita sedang buat ini untuk memperkasakan dan supaya mendaulatkan syiar Islam di Selangor, itu jelas,” katanya.

Hantaran di aplikasi X itu turut mengaitkan kes peguam Nik Elin Nik Abdul Rashid bersama anak perempuannya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman yang memfailkan cabaran undang-undang untuk membatalkan 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019. – Bernama

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *