PENDUDUK Kampung Keprudang di Buthidaung, Arakan, Myanmar merayu bantuan antarabangsa selepas rumah mereka dibakar pelampau agama sejak seminggu lalu menyebabkan mereka kini terkepung dan hilang tempat berteduh.
Selain kampung berkenaan, Kampung Jabar yang terletak bersebelahan juga dibakar dengan puluhan keluarga terpaksa menyelamatkan diri dan lari ke kawasan berhampiran ekoran ketegangan yang semakin memuncak ketika perjanjian pengusiran pulang pelarian Rohingya dari Bangladesh akan dilaksanakan.
Naib Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Myanmar menghubunginya kelmarin untuk meminta bantuan selepas keadaan menjadi semakin buruk dengan penduduk yang kelaparan semakin meningkat.
Katanya, seluruh kampung dibakar hangus oleh pelampau sebagai tekanan ke atas etnik Rohingya di kawasan Maungdaw, Buthidaung dan Rathidaung awal minggu ini untuk mengusir mereka dari kawasan berkenaan seperti yang dilakukan sebelum ini
“MAPIM dibantu pertubuhan antarabangsa lain mengusahakan bantuan untuk dibawa masuk ke Arakan sebagai bantuan segera kepada etnik Rohingya yang tinggal dalam ketakutan sejak operasi ketenteraan dilancarkan pada 25 Ogos tahun lalu.
“Jumlah bantuan yang diperlukan semakin besar kerana kawasan yang terjejas sudah bertambah dan jumlah mangsa meningkat. Bantuan yang diberikan sebelum ini hanya tertumpu kepada kawasan kem di sekitar Sittwe, namun kali ini ia sudah merebak ke tempat lain,” katanya kepada Harian Metro.
Ahmad Tarmizi berkata, berdasarkan maklumat rakan gabungan MAPIM, penduduk terkepung di kawasan terjejas dan mereka masih dikawal ketat tentera yang membuat pos kawalan di hampir semua pintu masuk ke kampung walaupun sebahagian besarnya musnah dibakar sebelum ini.
Justeru, MAPIM mengaktifkan bantuan kecemasan untuk membantu mereka yang kini terkepung dan tidak dapat berbuat apa-apa dan ia akan disalurkan segera kerana mereka berisiko kehilangan nyawa.
“Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian menerusi akaun Baitul Rahmah MAPIM 552095224432 (Maybank) atau mendapatkan maklumat menerusi laman Facebook MAPIM,” katanya. – HARIAN METRO
KOMEN