Home » Wacana » Erti sebuah persahabatan

Erti sebuah persahabatan

Oleh  LUQ AL-FATEH

Perlukah kehadiran seorang sahabat di sisi kita? Seorang sahabat yang akan sentiasa ada bersama-sama ketika kita sedang diulit kesedihan mahupun ketika meraih kegembiraan? Atau adakah mereka tidak diperlukan dalam kehidupan kita dengan alasan, “ala…boleh je hidup kalau tak ada kawan. Lagipun dalam dunia yang serba ada ini, banyak cara dan aktiviti yang boleh dibuat untuk menghiburkan dan menemani diri kita seperti bermain gajet, menonton filem di pawagam dan bersukan.”

Saya kira semua orang ada kawan. Mungkin sahabatnya yang kurang ada. Dalam zaman sekarang, kawan bukan sahaja yang bertemu secara bersemuka tetapi ada juga istilah kawan online, iaitu kawan-kawan yang dikenali di atas talian. Berjumpa pun tidak pernah tetapi apabila berbual di talian, sembangnya rancak seolah-olah sudah lama kenal. Pernah juga terdengar ada orang berkata, “saya tidak ada kawan.”  Betulkah? Bolehkah seseorang menjalani kehidupan tanpa kawan-kawan di sisi?

Hakikatnya, Islam amat menggalakkan untuk kita berkenal-kenalan dan menjalinkan persaudaraan sesama kita. Pola kehidupan manusia telah menjadikan kawan atau sahabat sebagai individu penting dalam membentuk keperibadian seseorang terutama ketika menginjak usia. Oleh sebab itu, kita sering diingatkan supaya bijak memilih kawan. Memilih kawan-kawan yang sentiasa memandu kita kepada kebaikan dan bukan kawan-kawan yang hanya akan merosakkan masa hadapan kita sendiri.

Pepatah Arab menyebut: “Bersahabat dengan penjual minyak wangi, kita akan menerima percikan wangiannya, manakala bersahabat dengan tukang besi, percikan apinya akan mencarikkan bajunya.”

Kawan…radar komunikasinya mungkin hanya berputar tentang perkara-perkara yang mudah dan menyenangkan. Bicara soal aktiviti seharian, hobi di masa senggang, diskusi tentang sesuatu produk di pasaran dan sebagainya. Kalau sahabat bagaimana pula? Sudah tentunya topik perbualannya lebih serius, matang dan beranalisis.

 

Erti Sahabat Sejati

Orang kata sahabat adalah orang yang sanggup bersama sewaktu susah dan senang. Adakala sahabat ini datang dari kalangan ahli keluarga sendiri ataupun yang mempunyai pertalian darah dan ada juga yang langsung tidak mempunyai ikatan kekeluargaan tetapi perhatiannya melebihi saudara sendiri.

Paling beruntung adalah memiliki sahabat sejati iaitu yang akan sentiasa membantu walau kita berada dalam situasi yang bagaimana sekali pun. Sahabat sejati inilah yang sukar dicari. Sahabat sejati adalah individu yang mampu memahami diri kita sama ada ketika tenang mahupun beremosi, sabar dengan kerenah kita dan yang paling penting adalah bersahabat dengan kita dengan perasaan yang telus.

Sahabat yang baik adalah mereka yang mengisi kekurangan kita, bukan mengisi kekosongan kita. Sahabat ini selalunya akan memberi pandangan yang kadangkala tidak selari dengan kehendak dan kemahuan kita. Ini kerana mereka perlu bersikap neutral bagi membetulkan tindakan yang dirasakan tidak betul. Bukan sembrono menyokong apa sahaja yang kita lakukan. Mereka boleh menjadi penyokong terbaik. Penghibur terbaik. Pelawak terbaik. Kaunselor terbaik. Juga pengkritik terbaik.

Kita bergaduh, berperang mulut tetapi hubungan itu akan pulih seperti sedia kala. Itu semua akan menjadikan kita lebih mengenali antara satu sama lain. Dialah yang akan mengkritik kita. Kritikannya pula  jenis yang tidak berlapik ketika bercakap – mulut tak ada insuran. “Kau gemuk, kau memang kuat makan, kau memang kaki tidur.” Ini kerana ia adalah kebenaran dan bukan hanya berkata yang manis dan yang muluk semata-mata untuk mengambil hati kita.

Mereka meraikan hari kelahiran kita. Mereka ada di sisi kita ketika diijabkabulkan dengan pilihan hati kita. Mereka juga tumpang gembira dengan cahaya mata kita. Malah boleh bergaul dengan ahli keluarga kita dan menjadi sebahagian daripada keluarga kandung kita.

Paksi persahabatan adalah kasih sayang, keikhlasan dan kejujuran. Sahabat juga adalah orang yang mampu menyimpan rahsia dan keaiban kita. Mereka tidak semudahnya mencanangkan keburukan kita ketika tercetusnya pergaduhan ataupun perselisihan pendapat. Rahsia dan keaiban kita erat disimpan kerana bertunjangkan rasa jujur dan ikhlas.

Mereka juga akan sentiasa bersabar dengan kerenah kita. Kita mungkin telah melakukan kesilapan. Tetapi mereka tidak beralah untuk sentiasa mengingati kita. Sehingga ke satu tahap mungkin mereka kecewa kerana telah banyak kali mengingatkan tetapi kerana ego kita, kita menganggap nasihat mereka hanya teguran yang tidak berasas dan mengganggu.

Biasanya, alam persekolahanlah yang membawa ikatan persahabatan. Cuma sama ada ia akan berakhir apabila tamat tempoh persekolahan atau berterusan hingga ke alam dewasa. Saling memaklumkan sudah mendirikan rumahtangga, sudah ada anak berapa orang, saling bertemu ketika perayaan dan berhubung melalui telefon atau apa sahaja medium perhubungan yang serba canggih pada masa kini; FacebookInstagram mahupun Whatsapp.

Kecanggihan teknologi masa kini telah memperkenalkan grup di dalam Whatsapp. Tidak kiralah grup rakan sepejabat, kawasan perumahan mahupun alumni kolej atau fakulti. Tidak dapat dinafikan medium inilah yang paling popular dan berkesan untuk menyampaikan maklumat. Malah, kawan-kawan yang sudah lama hilang dapat dikesan dan dimasukkan sekali di dalam grup tersebut.

Pentingkah mempunyai sahabat? Jawapannya sudah tentu, ya. Dunia perhubungan itu luas. Dunia kita bukan hanya setakat dengan ahli keluarga walaupun benar, ada orang menganggap isteri atau  suami, ibu atau bapa sebagai sahabat sejati mereka, tempat meluahkan segala rasa. Namun, jangan lupa sebaik-baik tempat mengadu adalah Allah SWT.

Kenapa kita perlukan sahabat? Sahabatlah yang akan memberi perhatian terhadap kehidupan kita. Mereka mengambil tahu tentang kesihatan, emosi, fizikal, kerjaya, keluarga dan seputar kehidupan yang kita lalui. Mereka menunjukkan keprihatinan dan membantu sekiranya kita memerlukan pertolongan mereka.

Sahabat jugalah yang akan menitipkan doa buat kesejahteraan kita walau di mana kita berada terutama sekali apabila kita berada dalam kesusahan. Andai kita berada dalam kesakitan, merekalah antara penawar mujarab dengan gurauan dan sokongan yang tidak berbelah bahagi.

Islam sendiri menggalakkan untuk kita menjalinkan persahabatan dengan sesiapa sahaja asalkan kita tahu menjaga batasan persahabatan dan memilih sahabat yang baik yang boleh melorongkan kita ke arah kebaikan iaitu yang mentaati Allah SWT dan Rasul-Nya.

Nabi Muhammad SAW pernah mengibaratkan ikatan persahabatan antara dua orang Muslim dengan kedua belah tangan. Baginda tidak menggunakan perumpamaan lain kerana jalinan hubungan antara kedua-dua tangan sangat tepat untuk dijadikan ibarat dalam menggambarkan tentang hubungan sesama manusia. Kita boleh melihat bagaimana kedua belah tangan saling membantu satu sama lain dalam usaha mencapai sesuatu tujuan. Kedua-duanya bersatu untuk mencapai tujuan yang sama. Sebagai contoh, ketika mengangkat kotak yang berat dan besar. Bukankah kedua-dua belah tangan memerlukan antara satu sama lain?

Ikatan persahabatan terjalin atas paksi kasih sayang, saling mengambil berat dan memberi perhatian di saat susah dan senang. Sekian lama bersahabat, sudah tentu masing-masing sudah memahami sikap dan perangai sahabat sendiri. Ada masa kita boleh bertelagah atau berselisih pendapat tetapi itu adalah rencah yang memberi kemanisan dalam persabahatan.

Sahabat yang baik ialah sahabat yang mampu menegur kita saat kita melakukan kesilapan. Juga mampu memberi pandangan dan nasihat yang wajar. Sebab itu, mereka penting dan sebagai hamba Allah kita disaran untuk menjaga ikatan tersebut dengan perasaan ikhlas, jujur dan setia. Bukan untuk kepentingan atau sebagainya.

Teringat pula saya mengenai berita yang saya dengar baru-baru ini berkaitan sebuah syarikat gergasi, Toyota, Jepun yang telah melancarkan robot Kirobo Mini yang boleh menemani manusia yang bersendirian di Jepun. Robot ini juga dikatakan boleh berbicara, memberikan isyarat dan mampu mengesan emosi manusia sama ada sedang gembira, sedih mahupun marah. Bagi saya ia kedengaran pelik kerana robot ini mungkin boleh mengubat kesunyian tetapi ia tidak beremosi. Namun, saya kurang pasti sekiranya robot ini sememangnya dinanti-nantikan oleh masyarakat moden Jepun. Robot tetap robot dan ia tetap tidak akan beremosi seperti manusia.

Bersahabatlah kerana dunia kita tidak lengkap tanpa peneman-peneman yang setia ini. Hubungilah mereka andai kita sudah melupakan mereka. Jalinkanlah ikatan yang murni dan semoga Allah memelihara persahabatan tersebut sentiasa dalam lindungan-Nya. Dijauhkan daripada fitnah dan sifat dengki yang mampu meleraikan ikatan itu. Kalau ada selisih faham, bermaaf-maafanlah kerana kita sendiri tidak tahu sehingga bila kita masih bernafas di dunia ini. – Majalah Dakwah

Artikel Berkaitan

Ummu Atiyyah sokong keputusan MKI

Kuala Lumpur: Anak sulung kepada bekas pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad iaitu Ummu Atiyyah menyokong keputusan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *