ANKARA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dihubungi oleh Presiden Turkiye, Recep Tayip Erdogan menerusi sidang video.
Memetik laman Twitter TRT World, kedua-dua pemimpin membincangkan beberapa isu penting membabitkan hubungan dua hala Ankara-Putrajaya.
Antara yang dibincangkan, kepentingan mewujudkan satu pendirian teguh dan kukuh dalam isu serangan terhadap kitab suci Al-Quran, oleh kumpulan tidak bertanggungjawab.
Kebelakangan ini, beberapa insiden provokatif membakar kitab suci umat Islam itu berlaku di Sweden dan Denmark, yang menjurus kecaman dunia Islam ke atas kumpulan yang berbuat demikian.
Sementara itu, turut dibincangkan oleh Erdogan dan Anwar adalah kemajuan hubungan dua hala di atas dasar yang strategik dan komprehensif.
Selain itu, Erdogan juga memberitahu Anwar bahawa Turkiye menyambut baik persetujuan yang diberikan kepada Turkish Republic of Northern Cyprus (TRNC) untuk membuka pejabat perdagangannya di Malaysia.
Memetik TRT World lagi, Turkiye turut menggesa Malaysia menyenaraikan pertubuhan Fethulllah (FETO) sebagai sebuah organisasi pengganas, dan Erdogan meminta Anwar menyokong usaha itu.
FETO adalah gerakan yang didalangi Fethullah Gullen yang pernah merancang rampasan kuasa di Turkiye pada 2016.
Dalam pada itu, Erdogan juga menyatakan kesediaannya untuk berkunjung ke Malaysia atas undangan Anwar, satu hari nanti. –Alhijrah Online
KOMEN