ANKARA: Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan hari ini menuduh Benjamin Netanyahu menjadi pengganas selepas perdana menteri Israel itu menolak ‘pelajaran moral’ Ankara susulan pertempuran maut di Gaza.
“Hey Netanyahu! Anda seorang penjajah dan kerana sifat penjajah itu, kamu berada di tanah itu. Pada masa yang sama, anda adalah seorang pengganas,” kata Erdogan dalam ucapan televisyen di Adana, Turki selatan.
“Apa yang kamu lakukan terhadap rakyat Palestin yang ditindas akan menjadi sejarah dan kami tidak akan melupakannya,” katanya.
Komen itu dibuat selepas tentera Israel membunuh 16 orang Palestin dan mencederakan ratusan yang lain Jumaat lalu dalam satu demonstrasi yang bertukar ganas di sepanjang sempadan dengan Semenanjung Gaza.
Erdogan mengutuk Israel di atas serangan tidak berperikemanusiaan itu sekali gus mencetus tindak balas dari Netanyahu.
“Tentera yang paling bermoral di dunia tidak akan menerima nasihat moral daripada seseorang yang sekian lama mengebom orang awam secara melulu,” kata Netanyahu di Twitter.
Netanyahu sebelum ini melabel Erdogan sebagai orang yang “mengebom perkampungan Kurdis.”
Israel mempertahankan tindakan tenteranya yang melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan yang menyimpang dari kem asal. – AFP
KOMEN