Home » Langit Terbuka » Era sebuah negara Palestin berakhir selepas kemenangan Trump, kata Israel

Era sebuah negara Palestin berakhir selepas kemenangan Trump, kata Israel

JERUSALEM, 10 Nov. – Dalam pada Presiden Mahmoud Abbas berikrar untuk bekerjasama dengan siapa saja yang menjadi Presiden Amerika Syarikat (AS), rejim Tel Aviv yang menyifatkan Donald Trump sebagai ‘sahabat sebenar Israel’, berpeluang untuk mengingkari konsep sebuah negara Palestin.
Ini dinyatakan Menteri Pelajaran Israel, Naftali Bennett bahawa kemenangan Trump adalah peluang keemasan kepada Israel untuk segera menarik balik tanggapan kewujudan sebuah negara Palestin di wilayah diduduki.
“Era sebuah negara Palestin sudah berakhir,” katanya mengulas kemenangan calon Republikan dalam pilihan raya Presiden AS.
Trump yang bakal mengangkat sumpah jawatan Presiden AS, Januari tahun depan dalam kempennya sebelum ini, memberi sokongan kuat untuk melindungi Israel daripada sebarang ancaman.
Malah, Trump juga berjanji memindahkan ibu negara Israel, Tel Aviv, ke Jerusalem, yang sebelum ini dituntut untuk dijadikan ibu negara Palestin.
Namun, bagi pemimpin parti Mubadara yang juga Ahli Parlimen Palestin di Knesset Israel, Mustafa Barghouthi, beliau melihat tiada bezanya antara Trump dan Hillary Clinton.
“Kedua-duanya adalah sebahagian daripada pentadbiran Amerika Syarikat yang berat sebelah kepada Israel. Keputusan itu adalah jelas, selain bermakna Palestin perlu menggunakan metode yang berbeza dalam menangani tindakan AS untuk mengubah negara Palestin,” katanya.
Beliau yang tidak yakin Trump akan mengambil bahagian yang membina dalam isu negara Palestin, berpendapat, kemenangan ahli perniagaan itu akan membuka luas kemungkinan campur tangan pihak lain dalam isu Timur Tengah.
Seorang lagi Ahli Parlimen Palestin di Knesset mewakili parti Balad, Jamal Zahalka pula berkata, kemenangan Trump adalah berita sedih kepada penentang perkauman, penyokong demokrasi serta kumpulan hak asasi manusia dan keadilan sosial.
“Sudah cukup menyaksikan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bergembira di atas kemenangan Trump. Ini adalah bukti paling jelas fahaman politik Trump dan kesetiaannya kepada kem ekstremisme yang bertentangan dengan hak asasi kemanusiaan,” katanya.
Jamal berharap kemenangan Trump akan menjadi pemangkin ‘untuk perubahan dalam strategi Palestin’ menangani bantuan AS.
Pergerakan Hamas yang menguasai Gaza pula tidak menjangkakan kemenangan Trump mengubah apa-apa polisi AS terhadap Palestin.
“Rakyat Palestin tidak menjangkakan adanya apa-apa perubahan polisi oleh Presiden AS kerana polisi negara itu sendiri mengenai isu Palestin adalah berat sebelah,” kata jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri.
Bagaimanapun, katanya, Hamas berharap Trump akan menilai semula polisi berkenaan dan memberi keseimbangan kepada Palestin. – Agensi

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *