SURABAYA: Enam sekeluarga termasuk dua kanak-kanak perempuan melancarkan pengeboman bunuh diri di tiga gereja Indonesia ketika sesi keagamaan semalam, mengorbankan sekurang-kurangnya 13 orang dan mencederakan berpuluh lain dalam serangan didakwa Daesh.
Pengeboman di tiga gereja itu adalah yang terburuk di Indonesia selama bertahun, ketika negara majoriti Islam di dunia itu bergelut menangani militan tempatan dan meningkatkan sikap tiada toleransi terhadap minoriti agama.
Tambahan tiga orang maut dan dua lain cedera apabila sebutir bom meletup di sebuah kompleks pangsapuri di sini, bandar kedua terbesar Indonesia, beberapa jam kemudian, kata polis namun tiada siapa mengaku bertanggungjawab.
Ketua polis Indonesia, Tito Karnavian berkata, pengebom gereja, pasangan suami isteri, dua anak perempuan berusia sembilan dan 12 tahun serta dua anak lelaki berusia 16 dan 18 tahun dikaitkan dengan rangkaian pelampau tempatan, Jamaah Ansharut Daulah (JAD), yang menyokong Daesh.
Laporan media tempatan berkata, mereka mungkin baharu pulang dari Syria, di mana ratusan rakyat Indonesia berkumpul berjuang bersama Daesh.
Wanita terbabit dikenal pasti sebagai Puji Kuswati dan dua anak perempuannya memakai niqab dan bom yang dilekatkan pada pinggang ketika memasuki Gereja Kristen Indonesia Diponegoro sebelum meletupkan diri.
Si bapa, pemimpin sel JAD, Dita Priyanto, membawa kenderaan dipenuhi bom ke Gereja Pusat Pentecostal Surabaya sementara anak lelakinya menunggang motosikal merempuh gereja Santa Maria, dan meletupkan bom dibawanya, kata Tito.
“Semuanya serangan bunuh diri namun jenis bom digunakan berbeza,” katanya.
Jurucakap polis Jawa Timur, Frans Barung Mangera mengesahkan kematian 13 orang dengan 40 lain cedera dalam serangan terancang sekitar 7.30 pagi (0030 GMT). –AFP
KOMEN