LANGKAWI – Empat individu warganegara Finland ditahan polis petang semalam disyaki menyebarkan risalah Bible kepada umat Islam di sekitar pulau peranginan ini.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, suspek terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita berusia antara 27 hingga 60 tahun ditahan di sebuah resort di sini kira-kira pukul 5.30 petang.
“Kami menerima tiga laporan mengenai kejadian itu. Salah satu laporan tersebut dibuat seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun yang mendakwa diberikan sebatang pen dengan risalah Bible di sekelilingnya oleh tiga indvidu warganegara asing ketika sedang berada di sebuah premis di Pantai Chenang pada 18 November lalu, pukul 10.30 malam.
“Pen itu didakwa turut diedarkan kepada kakitangan premis dan peniaga di kawasan Pantai Chenang. Ekoran daripada itu, pihak polis membuat siasatan dan berjaya menahan keempat-empat suspek semalam,” katanya dalam satu kenyataan di sinii.
Pada pen tersebut, tertera perkataan “Kata Yesus kepadanya. Akulah jalan dan kebenaran dan hidup. Tidak ada seorang pun yang datang kepada bapa, kalau tidak melalui aku,” Terjemahan Baru, Yohanes 14:6.
Difahamkan mereka tiba di Langkawi kira-kira pukul 7 pagi, 18 November lalu dan mula mengedarkan pen tersebut kira-kira pukul 10.10 malam hingga 12.30 pagi.
Mohd. Iqbal menambah, siasatan awal mendapati mereka yang ditahan berhasrat untuk meninggalkan pulau ini esok.
“Selain itu, kami turut merampas 47 batang pen dengan risalah Bible tersebut, 336 buku kecil berkaitan Kristian yang tertulis bahasa Vietnam terbitan World Missionary Press Inc serta dua buah bagasi kecil.
“Suspek yang ditahan tidak memiliki rekod lampau dan kami akan mendapatkan perintah tahanan reman bermula hari ini untuk menjalankan siasatan lanjut,” katanya.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Perkara 39B Akta Imigresen 1959/1963.-Utusan Malaysia
KOMEN