Home » Langit Terbuka » Empat kurikulum hafazan Al-Quran

Empat kurikulum hafazan Al-Quran

Empat kurikulum tersebut ialah Tahfiz Turath, Tahfiz Sains, Tahfiz Dini dan Tahfiz Kemahiran. (gambar hiasan)

Bagi melahirkan generasi yang mampu menghafaz al-Quran dan berkemahiran dalam pelbagai bidang.

KUALA LUMPUR – Empat Jenis kurikulum tahfiz mampu melahirkan penghafal al-Quran selain bersedia menempuh alam pekerjaan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Empat kurikulum tersebut ialah Tahfiz Turath, Tahfiz Sains, Tahfiz Dini dan Tahfiz Kemahiran.

Tahfiz Turath ialah pengajian tahfiz al-Quran bersama kitab turath, Tahfiz Sains merupakan pengajian tahfiz al-Quran bersama pelajaran Sains, Tahfiz Dini pengajian tahfiz al-Quran bersama mata pelajaran agama Islam dan Tahfiz Kemahiran pengajian tahfiz al-Quran bersama modul kemahiran.

“Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) dirangka dengan model dan kurikulum yang mengambil kira keperluan laluan kerjaya,” katanya menjawab soalan Ir. Shaharuddin Bin Ismail, di Dewan Rakyat, hari ini.

Shaharuddin mahu tahu langkah jangka masa panjang kerajaan dalam menyediakan platform kepada pelajar yang berkelulusan daripada pusat tahfiz selari dengan tuntutan keperluan menempuh alam pekerjaan.

Asyraf Wajdi menjelaskan, Tahfiz Kemahiran dilaksanakan dengan kerjasama dengan agensi yang berkaitan seperti Kolej Komuniti, Kolej Poly-Tech Mara (KPTM), GiatMara dan lain-lain agensi bagi melatih kemahiran kepada pelajar-pelajar tahfiz berkenaan.

“Bajet 2018 menyatakan GiatMara akan melaksanakan latihan kemahiran kepada para pelajar lepasan tahfiz bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada mereka,” katanya.

Mengenai cadangan untuk lepasan tahfiz menyertai seperti Skim Latihan 1Malaysia (SLIM), Asyraf berkata pelajar tahfiz boleh menghadiri Program Outreach SL1M 2018 yang dilaksanakan di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

“SL1M yang ditubuhkan pada 1 Jun 2011 bagaimanapun bertujuan membantu para graduan lulusan Ijazah Sarjana Muda dan ke atas yang mengalami kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan selepas bergraduat,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, kerajaan melalui JAKIM telah memperkenalkan Sijil Tahfiz Malaysia (STM) sejak tahun 2011 bagi para penghafaz al-Quran persendirian menduduki peperiksaan yang dikendalikan oleh Darul Quran Jakim.

Sehingga tahun 2017 seramai 536 orang telah berjaya dan dianugerahkan Sijil Tahfiz Malaysia.

”JAKIM juga bermula 2012 telah memperkenalkan Skim Pembiayaan Hafiz (SPH) untuk membiayai pelajar-pelajar hafiz yang telah menghafaz al-Quran 30 juzuk untuk melanjutkan pengajian di universiti-universiti yang diiktiraf oleh Kerajaan dalam dan luar negara dan sehingga 2017 seramai 400 orang graduan berjaya dalam pelbagai bidang,” katanya. – MYEHWAL

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *