KUWAIT – Emir baharu Kuwait, Sheikh Nawaf al-Ahmad al-Jaber Al Sabah menyuarakan sokongan kerajaannya yang tidak berbelah bahagi terhadap rakyat dan Palestin, serta pejuangan membebaskan tanah yang diduduki oleh rejim pengganas Israel.
Ketika pertemuan dengan Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh, Sheikh Nawaf berkata, Kuwait akan terus mengikuti jejak Almarhum Emir Sheikh Sabah al-Ahmad al-Jaber Al Sabah, dan akan menawarkan sokongan padu kepada Palestin dan rakyatnya.
Shtayyeh dan pegawai kanan lain dari Pihak Berkuasa Palestin tiba di Kuwait pada hari Ahad untuk mengucapkan takziah atas kematian Sheikh Sabah.
Sebelum ini, dalam perbualan telefon dengan Ketua Biro Politik Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas), Ismail Haniyeh, pada 1 Oktober, Sheikh Nawaf menekankan bahawa kerajaannya tidak akan mengubah pendiriannya terhadap rakyat Palestin.
Katanya, Kuwait akan tetap komited terhadap perjuangan Palestin.
Bulan lalu, sebilangan parti politik Kuwait mengutuk dakwaan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump kononnya kerajaan di Teluk Parsi itu akan segera menormalkan hubungan dengan Israel.
Dakwaan itu berikutan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain menandatangani perjanjian normalisasi dengan rejim Tel Aviv di White House.
KOMEN