KUALA LUMPUR: Garis panduan khusus berkaitan pembabitan orang Islam dalam upcara bukan Islam perlu difahami sebaiknya demi mengukuhkan perpaduan dan persefahaman di antara kaum di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Mohd Na’im Mokhtar meluahkan rasa kesal kerana cadangan garis panduan itu telah disalah faham oleh beberapa pihak.
Memetik FMT, Mohd Na’im menegaskan garis panduan yang akan dimuktamadkan itu adalah penjelasan supaya orang Islam tidak lagi akan keliru dan bimbang menghadiri acara sosial dan kebudayaan agama lain, selain membantu masyarakat memahami batas serta sensitiviti penganjuran acara bagi mengelakkan kontroversi seperti sebelum ini.
“Garis panduan itu nanti akan memandu, membimbing dan mendidik orang Islam dari sudut hukum syarak apabila menghadiri acara berbentuk kebudayaan agama orang bukan Islam,” katanya.
“Saya sebenarnya ada juga berasa sedih sedikit kerana tujuan baik dan mulia dihasratkan menerusi garis panduan ini telah disalah fahami sesetengah pihak.
“Lebih mendukacitakan usaha mendorong dan menggalakkan perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang agama di negara kita telah difahami sebagai satu usaha menyempitkan pula,” katanya.
Malah sejak dua hari lalu Mohd Na’im dikritikan susulan jawapan bertulisnya di Parlimen berhubung pengenalan garis panduan itu yang mendakwa menteri itu gagal memahami sifat, realiti dan sensitiviti masyarakat berbilang kaum.
Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata mesyuarat Jemaah Menteri hari ini akan membincangkan secara lanjut cadangan terbabit yang sepatutnya dimuktamadkan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam, akhir bulan ini.
KOMEN