SHAH ALAM – Pihak berwajib sepatutnya tidak mempromosikan perkara-perkara yang bercanggah dengan syarak dan menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini.
Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes Abd Wahid berkata, sensitiviti umat Islam perlu dijaga memandangkan majoriti penduduk di Malaysia adalah beragama Islam.
Benda-benda yang haram itu tetap haram, benda-benda yang halal tetap halal.
“Janganlah diuar-uarkan perkara-perkara yang bercanggah dengan syarak, sedangkan ia jelas haramnya sama ada pesta arak dan sebagainya,” katanya ketika diminta mengulas tentang beberapa isu yang mencabar umat Islam sejak akhir-akhir ini.
Antara isu yang menyentuh sensitiviti umat Islam adalah pesta arak Oktoberfest dan terbaharu, jual makanan berasaskan khinzir secara terbuka dalam sebuah ekspo di Melaka.
Mohd Tamyes berkata, kempen atau promosi perkara-perkara haram itu memperlihatkan seolah-olah Malaysia sebuah negara yang memberi kebebasan dalam semua aspek.
Katanya, dalam Islam, memang ada kebebasan diberikan, tetapi bukanlah secara mutlak.
“Ia adalah kebebasan yang penuh beretika, ertinya kalau ada benda-benda yang sensitiviti (terhadap umat Islam) ini, sepatutnya ia tidak boleh diuar-uarkan,” katanya.
Menurutnya, ia bukanlah bermaksud menghalang orang bukan Islam daripada melakukan perkara-perkara seperti meminum arak.
“Itu hak dia, tetapi apa pun, kena ingat bahawa tiada satu agama pun dalam dunia ini yang mengharuskan arak.
“Semua agama termasuk Yahudi sendiri pun mengatakan arak itu haram, tetapi kalau dia (orang bukan Islam) buat juga, itu soal dia,” katanya. – Sinar Harian
KOMEN