SEREMBAN – Bakal haji diingatkan supaya mengelak perkara tidak bermanfaat seperti berbual kosong, membeli-belah dan bermain gajet semasa berada di Tanah Suci.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sebaliknya mereka perlu memberi tumpuan kepada ibadat kerana peluang untuk mengerjakan haji sukar diperoleh.
“Haji adalah perjalanan rohani yang memerlukan kekuatan fizikal, emosi dan ilmu pengetahuan tentang ibadat haji yang jelas. Saya ingin menasihati bakal haji untuk mempersiapkan diri dengan sebaik-baiknya.
āKenang semula sejarah haji waktu dahulu yang lebih sukar dan semoga ia menjadikan bakal haji lebih insaf dan bersyukur. Sepanjang di Tanah Suci, bersihkan niat dan gunakan sepenuh masa serta tenaga untuk amal ibadat.
“Elakkan membuang masa dengan perkara tidak bermanfaat seperti berbual kosong, membeli-belah atau bermain gajet kerana bukan mudah mendapat peluang mengerjakan haji,ā katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis penutup Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Sembilan 2019 di Kompleks Islam Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini.
Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Razali Ab. Malik; Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Yusof Ahmad; Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad dan Ketua Pegawai Strategi dan Ketua Staf Lembaga Tabung Haji, Hizamuddin Jamalluddin.
Seramai 1,200 orang bakal haji terpilih mengikuti kursus dua hari anjuran Tabung Haji itu yang bertujuan sebagai ulang kaji dan pelengkap kepada kursus haji.
Dalam pada itu, Aminuddin turut mengingatkan bakal haji supaya saling membantu dan menghormati antara satu sama lain ketika mengerjakan ibadat tersebut.
āSepanjang berada di Tanah Suci saya menyeru kepada bakal haji untuk membina sikap kendiri iaitu keupayaan mengendalikan diri sendiri. Sentiasa kekalkan disiplin diri dan menjaga nama baik negeri ini dan Malaysia,ā ujarnya. – Utusan Malaysia
KOMEN