Home » Langit Terbuka » Ekstremis tidak faham agama sendiri – Imam Omar Suleiman

Ekstremis tidak faham agama sendiri – Imam Omar Suleiman

Imam Omar Suleiman

KUALA LUMPUR: Konsep persaudaraan sejagat merupakan satu konsep yang penting kerana ia membantu menyemai sifat toleransi dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

Namun dalam situasi hari ini, konsep itu seolah-olah dilupakan, sebaliknya, ekstremis keagamaan kini menjadi satu wabak sehingga hilangnya nilai kemanusiaan.

Menurut pensyarah di Southern Methodist University di Texas, Amerika Syarikat, Imam Omar Suleiman, Islam kini menjadi medium yang digunakan oleh pihak-pihak tertentu yang hanya mahukan sesuatu untuk kepentingan diri sendiri.

“Kebencian memfokuskan kepada orang lain, kerana pihak yang membenci itu tidak dapat menerima kelemahan dan kekurangan dirinya sendiri.

“Sama seperti ahli politik korup, mereka menggunakan apa sahaja isu termasuk agama, demi mengalih perhatian orang ramai dari isu sebenar,” kata Omar.

Ekstremis, kata Omar, tidak pernah dan tidak akan sekali-kali berjuang atas nama agama kerana mereka sendiri tidak memahami pengisian kepercayaan dan nilai yang didukung Islam.

“Ekstremis agama tidak berjuang atas nama agama. Saya sendiri kadang-kadang terfikir, siapa (Nabi) Muhammad yang menjadi rujukan mereka?

“Sebab setahu saya, Nabi Muhammad SAW yang saya kenal berbeza dengan Muhammad mereka.

“Mereka ini bukan dipandu cahaya, tapi dibutakan oleh cahaya,” tambahnya.

Omar, yang juga Presiden Institut Penyelidikan Islam Yaqeen, Texas, berkata demikian ketika memberikan ucaptama dalam Ceramah Peringatan Allahyarham Dr Oli Mohamed bin Abdul Hamid, ‘One Humanity’, yang berlangsung di Kuala Lumpur, pada Sabtu.

Turut berlangsung sempena ceramah itu ialah satu sesi dialog yang dipengerusikan oleh Omar, bersama tiga panelis iaitu Ketua Bishop Kuala Lumpur, Julian Leow; Presiden Hindu Sangam Malaysia, Datuk Mohan Shan, dan pengasas Pertubuhan Sasana Abhiwurdhi Wardhana, Prof Vijaya Samarawickrama.

Acara yang kali ketiga diadakan itu adalah untuk memperingati Allahyarham Dr Oli Mohamed Abdul Hamid, pengasas Yayasan Farrash yang juga seorang tokoh yang banyak menyumbang dalam bidang pendidikan. – ASTRO AWANI

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *