Home » Langit Terbuka » Eksport halal diunjur berkembang 5 peratus

Eksport halal diunjur berkembang 5 peratus

Pasaran halal berkembang pesat di seluruh dunia. (gambar hiasan)

KUALA LUMPUR: Eksport produk halal diunjurkan meningkat lima peratus daripada RM43.3 bilion yang dicatatkan pada tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC), Datuk Seri Jamil Bidin, berkata unjuran disokong oleh permintaan tinggi terhadap produk halal tempatan, terutama dari negara bukan Islam seperti Singapura dan China.

“Di peringkat global, terdapat peningkatan minat terhadap produk dan industri halal kerana lebih banyak negara mengiktiraf potensi komersial.

“Produk dan industri halal nampaknya berasal dari negara bukan Islam (kecuali Malaysia), sedangkan majoriti negara Islam mempunyai pengguna terbesar namun malangnya, mereka bukan pengeluar produk halal.

“Justeru, syarikat tempatan perlu manfaatkan peluang ini untuk menembusi pasaran antarabangsa,” katanya pada sidang media selepas pra pelancaran Minggu Halal Sedunia (WHW) 2018 di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah Halal Hab, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Sirajuddin Suhaimee dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Dr Mohd Shahreen Zainooreen Madros.

Mengulas lanjut, Jamil berkata, tahun lalu syarikat multinasional menguasai pasaran eksport halal negara dengan jumlah RM38 bilion.

“Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menjana RM3.8 bilion manakala industri kotej menyumbang RM1.5 bilion eksport halal.

“Industri makanan dan minuman mencatatkan nilai eksport terbesar sebanyak RM20.1 bilion, diikuti oleh penyediaan bahan halal (RM15.7 bilion), derivatif minyak sawit (RM3.5 bilion) diikuti kosmetik dan produk penjagaan diri (RM2.9 bilion),” katanya.

Pengimport terbesar produk halal Malaysia adalah Singapura iaitu RM4.9 bilion, diikuti China (RM4.8 bilion), Jepun (RM2.8 bilion), Amerika Syarikat (RM2.7 bilion) dan Indonesia (RM2.2 bilion).

Mengulas mengenai WHW 2018, Jamil berkata, acara itu akan mengkaji potensi indsutri halal sebagai penyumbang utama ekonomi global.

WHW 2018 dianjurkan oleh HDC dengan kerjasama MATRADE dan JAKIM.

Ia terdiri daripada tiga komponen iaitu Persidangan Halal Dunia (WHC) 2018 oleh HDC dari 4 hingga 5 April di Mandarin Oriental Hotel, Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) oleh MATRADE dari 4 hingga 7 April di MITEC dan Perhimpunan Halal Malaysia (MyHa) oleh JAKIM dari 26 Mac hingga 3 April di Meridien Putrajaya. – BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *