Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, semua jemaah yang menjadi mangsa penipuan diminta segera membuat aduan rasmi kepada KPDN melalui saluran disediakan seperti portal e-duan KPDN, pusat pengadilan, aplikasi telefon pintar Ez Adu-KPDN dan aplikasi WhatsApp.
“Kita menerima 39 aduan berkaitan dengan penipuan pakej umrah dan haji dari 1 Januari hingga 25 Ogos tahun ini.
“Sebanyak 183 kertas siasatan telah dibuka di bawah kesalahan Seksyen 117 Akta Perlindungan Pengguna 1999 berkaitan ketidakpatuhan award yang telah dikeluarkan oleh Tribunal Tuntutan Pengguna (TTPM) kepada pihak penentang dan 59 kertas siasatan telah berjaya diselesaikan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Fuziah menjelaskan setiap aduan diterima disiasat dengan teliti selain kerjasama dengan pihak berkuasa lain bagi memastikan mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.
Tambahnya, jemaah haji atau umrah yang terlibat dalam penipuan ini juga boleh membuat tuntutan tebus rugi di TTPM.
“Secara keseluruhan, sebanyak 562 kes tuntutan tebus rugi berkaitan penipuan pakej umrah telah difailkan di TTPM seluruh Malaysia dari 1 Januari 2024 hingga 31 Julai 2024 dengan 413 kes tuntutan telah selesai,” katanya.
Dalam pada itu, Fuziah memberitahu di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 [Akta 599], jumlah maksimum tuntutan tebus rugi adalah RM50,000.00.
KOMEN