PETALING JAYA – Pendakwah terkenal, Ebit Lew berjaya memasuki Gaza, Palestin untuk meneruskan misi kemanusian dan mengagihkan bantuan kepada rakyat negara itu pagi ini.
Perkara itu dimaklumkan dalam Facebook beliau sebentar tadi.
Menurut Ebit, Kedutaan Malaysia dan Unit perisikan Tentera Mesir memaklumkan mereka adalah pasukan pertama dunia dibenarkan masuk melalui pintu Rafah selepas perang baru-baru ini.
Terdapat lebih 30 pertubuhan bukan kerajaan dari seluruh dunia dengan sebahagian mereka berada di Mesir untuk menunggu masa dibenarkan memasuki Gaza.
Dalam pada itu, Ebit meluahkan sebak sebaik melangkah kaki ke Gaza dan memberitahu seolah-olah berjaya balik ke kampung sendiri.
“Mungkin daripada doa untuk rakyat Palestin, kini dapat jejak kaki ke sini. Saya minta maaf tidak update sebelum ini atas faktor keselamatan.
“Terharu bila sampai kami disambut oleh Palestin Red Crescent, ramai berebut untuk menyambut iaitu Kementerian Kesihatan Palestin dan Kementerian Luar Palestin. Sepanjang masuk sempadan Rafah cuma kedengaran semua ajak minum makan dan ke rumah mereka. Terasa seperti keluarga yang sangat dekat,” katanya beliau.
Sebelum ini, Ebit dan rombongan bantuan kemanusiannya `terkandas’ di Kaherah, Mesir lebih sebulan sebelum berjaya memasuki Gaza.
Dalam pada itu, Ebit mengucapkan terima kasih kepada Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang banyak membantu beliau dan pasukan terhadap misi kemanusian tersebut serta sering bertanyakan terhadap perkembangan misi bantuan itu.
Beliau juga menzahirkan junjungan kasih kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang sangat banyak membantu dan turut menyumbang bersama serta selalu bertanya khabar.
“Terima kasih juga kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menghubungi Presiden Mesir dengan menyebut tentang misi kami.
“Terima kasih juga Palestin Palestine Red Crescent Society dan Malaysian Red Crescent . Terima kasih Kerajaan Mesir yang membantu segala urusan dan menjaga keselamatan kami sepanjang perjalanan,” katanya. – UTUSAN
KOMEN