KUBANG PASU- Inisiatif e-Tunai Rakyat yang akan dilancarkan pada 15 Januari ini, dijamin patuh syariah.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah, berkata inisiatif itu sudah diteliti panel penasihat syariah Bank Negara Malaysia (BNM) bagi memastikan tidak wujud sebarang keraguan berkaitan sistem berkenaan.
Katanya, orang ramai tidak perlu ragu-ragu mengenai pelaksanaan inisiatif itu kerana ia tidak melanggar sebarang hukum syarak.
“Pagi tadi, ada jemaah masjid bertanyakan saya mengenai isu ini dan saya jelaskan kepada mereka bahawa e-Tunai ini patuh syariah.
“Panel penasihat syariah BNM sudah tetapkan beberapa syarat yang perlu dipatuhi supaya tidak berlaku perkara yang melanggar syariah, seterusnya kebimbangan berhubung perkara ini dapat diatasi,” katanya ketika ditemui media.
Amiruddin berkata, bagi menjayakan inisiatif itu, kerajaan menggalakkan pemilik perniagaan termasuk peruncit menggunakan sistem e-dompet dapat menjalankan urus niaga mereka.
Katanya, ini kerana sistem itu akan memberi keselesaan dan kemudahan kepada penjual dan pembeli selain tidak lagi berdepan risiko dirompak.
“Negara jiran seperti Indonesia dan Thailand sudah menggunakan e-dompet dan ia sudah menjadi keperluan masyarakat, jadi kita perlu saling memberi sokongan dalam menjayakan budaya digital,” katanya. – Berita Harian
KOMEN