BEIJING – Durian berpotensi menjadi satu lagi komoditi eksport utama Malaysia jika dimajukan secara sistematik dan besar-besaran seperti getah dan sawit.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia telah berjaya memajukan ladang getah yang asalnya dibawa dari Amerika Selatan sehingga menjadi pengeluar terbesar dunia.
Menerusi penyelidikan katanya, Malaysia juga berjaya berbuat demikian untuk sawit yang berasal dari Afrika Barat.
“Namun durian adalah tanaman asal Malaysia, tetapi kita tidak pernah memikirkan mahu memajukan ladang durian bersistematik sebagaimana kita lakukan untuk getah dan sawit.
“Saya fikir, sudah sampai masanya kita mengeluarkan durian secara besar-besaran dan secara sistematik kerana di China sahaja ada 1.4 bilion rakyatnya yang sukakan buah ini,” katanya.
Dr Mahathir yang sedang dalam lawatan rasmi lima hari ke China bermula kelmarin berkata demikian pada jamuan tengah hari bersama pemimpin korporat Malaysia di sini. – Berita Harian
KOMEN