LONDON 4 Jun – Perdana Menteri Britain, Theresa May mengesahkan serangan di London pada malam semalam sebagai tindakan pengganas dan menyifatkan kejadian tersebut sebagai ‘amat dahsyat’.
“Inilah masanya untuk berkata, cukup-cukuplah,” kata pemimpin itu selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar mengenai serangan tersebut bersama barisan Kabinet.
Datuk Bandar London, Sadiq Khan pula menyifatkan serangan itu sebagai ‘serangan pengecut’ yang disengajakan untuk menyerang penduduk London dan pengunjung yang sedang menghabiskan cuti hujung minggu.
“Tiada alasan yang boleh diberi terhadap tindakan yang tidak bertamadun ini,” katanya.
Beberapa pemimpin dunia lain turut mengutuk keras serangan itu dan melahirkan rasa simpati terhadap mangsa dan keluarga mereka.
“Serangan yang menakutkan. Doa kami untuk mangsa dan keluarga,” kata Ketua Suruhanjaya Eropah, Jean-Claude Juncker.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron pula berkata, Perancis memberi sokongan padu kepada Britain dalam menghadapi insiden itu selain mendoakan keselamatan orang ramai.
Presiden Kanada, Justin Trudeau menyifatkan kejadian itu sebagai berita buruk dari London dan sedang memantau keadaan tersebut dari semasa ke semasa.
Australia menerusi Perdana Menterinya, Malcolm Turnbull menegaskan, serangan itu sebagai tindakan kejam pengganas yang tidak berkesudahan untuk mengancam cara hidup dan kebebasan masyarakat.
Sementara itu Perdana Menteri India, Narendra Modi turut mengutuk sekeras-kerasnya serangan tersebut yang disifatkan mengejutkan dan kejam.
Canselor Jerman, Angela Merkel juga melahirkan rasa simpati kepada penduduk London dan berdiri teguh bersama-sama Britain. – AGENSI
KOMEN