Home » Langit Terbuka » DUN Pahang lulus usul bantah kekejaman zionis Israel

DUN Pahang lulus usul bantah kekejaman zionis Israel

Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang hari ini. - Foto BERNAMA

KUANTAN: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, hari ini, sebulat suara meluluskan usul membantah kekejaman dan kezaliman rejim zionis Israel terhadap rakyat Palestin.

Usul itu dibentang oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa Dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad yang menggariskan lima ketetapan termasuk mengecam sekeras-kerasnya serangan zionis Israel terhadap Palestin.

“Kerajaan negeri juga menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membuat ketetapan supaya Israel menghentikan serta-merta serangan ketenteraan ke atas rakyat Palestin melalui gencatan senjata dan memperakui secara formal bahawa tindakan rejim zionis adalah perbuatan jenayah.

“Kerajaan Pahang berpandangan tiada alasan kukuh untuk penggunaan kekerasan yang dilakukan secara tidak seimbang, semberono dan melampaui batas ke atas Palestin,” katanya pada sidang DUN di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Beliau berkata, Pahang akan terus memberi bantuan kepada rakyat Palestin atas rasa tanggungjawab dan solidariti menerusi Tabung4Palestin 2.0 yang dilancarkan semasa perhimpunan Pahang For Palestine di sini pada 28 Oktober lalu.

Usul itu disokong oleh Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (PH-Tras) yang berkata, apa yang berlaku di Palestin sejak 75 tahun lepas bukan lagi isu agama sebaliknya membabitkan kemanusian sejagat.

Shahril Azman Abd Halim (PN-Jengka), yang mengambil bahagian dalam perbahasan itu, pula berkata pembangkang menyokong sepenuhnya usul tersebut kerana isu berkenaan berkait rapat dengan umat Islam.

“Selain itu, saya suka untuk menambah sedikit usul tadi iaitu kita mesti mendesak Perdana Menteri Israel (Benjamin Netanyahu) dihadapkan ke mahkamah antarabangsa, melaksanakan gencatan senjata dan menghantar pasukan pengaman bagi mengelakkan kezaliman berterusan di Palestin.

“Kita juga mendesak Mesir agar melonggarkan kawalan bagi kemasukan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza melalui Rafah dan mempercepat proses penghantaran sebagai tanda solidariti,” katanya.

Pada sidang media selepas itu, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memberi jaminan sumbangan yang disalur melalui Tabung Pahang4Palestin akan dipastikan sampai secara terus kepada Palestin tanpa melalui orang tengah dan jumlah terkumpul setakat ini melebihi RM700,000.

“Kita menyasarkan kutipan RM1 juta. Ini komitmen kerajaan negeri dan bila tiba masanya, bila kita tutup tabung ini (menghentikan kutipan), kerajaan negeri akan menambah jumlah yang terkumpul untuk pastikan sasaran RM1 juta tercapai,” katanya.

Persidangan bersambung esok. – BERNAMA

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *