SHAH ALAM 27 Jun – Institusi perundangan syariah Selangor membuka lembaran sejarah baharu di negara ini apabila melantik dua wanita sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah pertama berkuat kuasa hari ini.
Pelantikan dua hakim terbabit iaitu Noor Huda Roslan, 40, dan Nenney Shuhaidah Shamsuddin, 41, diperkenankan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah manakala istiadat penerimaan pelantikan disempurnakan baginda di Istana Bukit Kayangan di sini yang turut disaksikan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan Ketua Hakim Syarie Selangor, Datuk Dr. Mohd. Naim Mokhtar.
Pelantikan kedua-dua mereka yang merupakan anak jati Banting, Selangor dibuat selaras dengan Subseksyen 58(1) dan Seksyen 59(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.
Mohd. Naim dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Selangor Darul Ehsan (Jakess) hari ini melahirkan rasa syukur beliau atas perkenan Sultan Selangor berhubung pelantikan dua wanita pertama di negara ini untuk menggalas tanggungjawab sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah di Selangor.
“Ini membuktikan keprihatinan baginda terhadap isu-isu Mahkamah Syariah khususnya peranan yang boleh dimainkan oleh golongan wanita dalam melaksanakan proses keadilan yang berkesan di Selangor.
“Walau bagaimanapun, ingin saya tegaskan di sini bahawa pelantikan hakim-hakim wanita ini bukan melibatkan isu gender, sebaliknya atas keupayaan para pegawai itu sendiri yang mempunyai kebolehan dan kelayakan menyandang jawatan Hakim Syarie,” katanya.
Sementara itu, Nenney Shuhaidah ketika ditemui selepas istiadat pengurniaan watikah pelantikan menyatakan rasa syukur dan terima kasih kepada Sultan Selangor serta kerajaan negeri yang memberikan kepercayaan kepada mereka untuk menggalas tanggungjawab berkenaan.
“Pelantikan ini merupakan satu dorongan yang baik yang merupakan penghormatan kepada kaum wanita.
“Kami akan cuba sedaya upaya menggalas dengan penuh tanggungjawab, amanah dan adil,” katanya.
Bagi Noor Huda pula, pelantikannya sekali gus mengenepikan persepsi gender yang wujud pada pemikiran masyarakat mengenai kebolehan dan kemampuan golongan wanita dalam semua bidang dan disiplin ilmu serta pekerjaan termasuk soal kehakiman dan perundangan.
“Kelayakan untuk menjadi Hakim Syarie adalah berdasarkan keupayaan seseorang itu menguasai ilmu serta pengalaman yang diperolehi masing-masing,” ujarnya.
Bagaimanapun menurutnya, bidang tugas mereka hanya melibatkan proses keadilan bagi kes-kes kesalahan ta’zir dan bukannya melibatkan kesalahan hudud dan qisas.
Selain pelantikan Noor Huda dan Nenney Shuhaidah, Sultan Selangor turut berkenan menyampaikan watikah pelantikan kepada lapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah; Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Selangor (dua orang); Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Selangor (empat orang) dan 11 orang imam masjid di Selangor. UTUSAN
KOMEN