Home » Langit Terbuka » Dua maut, 9 cedera dalam keganasan di selatan Thai

Dua maut, 9 cedera dalam keganasan di selatan Thai

SUNGAI GOLOK,29 Sept. – Wilayah bergolak selatan Thailand digegarkan dengan kejadian serangan bom dan tembakan hari ini yang mengakibatkan dua orang maut dan sembilan anggota keselamatan cedera.

Kejadian pertama berlaku di Sungai Golok, Narathiwat pada 11 pagi tadi (waktu tempatan) membabitkan tembakan terhadap anggota keselamatan, manakala insiden kedua melibatkan serangan bom terhadap sebuah stesen minyak di Pattani.

“Tiga anggota keselamatan yang sedang bertugas di hadapan sekolah di Lubuk Lesung, Sungai Golok diserang oleh 10 lelaki bersenjata menaiki lima motosikal yang melepaskan tembakan, menyebabkan seorang maut,” kata Ketua Pejabat DaerahSungai Golok, Preecha Nualnoi, hari ini.

Tiga laras senapang AK-47 milik anggota keselamatan itu dilarikan oleh kumpulan penyerang itu dan pasukan penyiasat yang tiba di lokasi kejadian menemukan kira-kira 60 kelongsong peluru, katanya.

Pihak berkuasa, menurut Preecha masih menyiasat motif serangan senjata api itu yang turut menyebabkan dua anggota keselamatan terbabit mengalami kecederaan.

Dalam insiden keganasan kedua pula, seorang pekerja wanita stesen minyak di Pattani maut apabila sebutir bom buatan sendiri seberat 20 kilogram memusnahkan kemudahan itu, kata Penolong Ketua Polis Daerah Khokpo, Kapten Kiartichai Nakre.

Serangan bom pada jam 1 tengah hari (waktu tempatan) itu, katanya menyebabkan kebakaran besar terhadap stesen minyak terbabit dan anggota bomba terpaksa mengambil masa 20 minit untuk memadamkannya.

Beliau berkata, tujuh anggota keselamatan yang pada ketika itu berada di stesen minyak terbabit untuk menyiasat satu kejadian tembakan turut cedera dalam insiden itu.

Pihak polis, katanya, percaya bom terbabit telah diletakkan di stesen minyak itu oleh empat orang tidak dikenali dan siasatan berkenaan motif letupan bom itu sedang berjalan. – Bernama

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *