ACEH, 24 Mei – Dua lelaki dihukum sebat di khalayak ramai semalam selepas didapati bersalah melakukan hubungan seks sejenis.
Pasangan berusia 20 dan 23 tahun itu disebat sebanyak 83 kali atas kesalahan melanggar undang-undang syariah di wilayah Aceh.
Mereka ditangkap melakukan hubungan terlarang itu di sebuah kampung penduduk, melalui aduan orang ramai.
Mereka dibawa menaiki sebuah pentas di luar sebuah masjid dan disebar di hadapan ratusan penduduk.
Bagaimanapun, identiti tidak didedahkan, mereka memakai jubah putih serta menundukkan kepala ketika disebat oleh seorang petugas yang menutup muka.
Dilaporkan, lapan lelaki dan wanita turut dihukum sebat semalam atas pelbagai kesalahan seperti berkhalwat, berjudi dan minum arak.
Sebelum hukuman dilaksanakan, anggota majlis ulama Aceh, Abdul Gani Isa memberitahu penduduk bahawa hukuman itu adalah pengajaran kepada orang ramai.
“Hukuman dalam undang-undang syariah dilakukan untuk memberi pengajaran dan tidak mencabuli hak asasi manusia,” katanya. -Agensi
KOMEN