Home » Langit Terbuka » Dua bulan belanja RM190 juta bantu golongan miskin

Dua bulan belanja RM190 juta bantu golongan miskin

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (tengah) ketika Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman pelaksanaan Diploma Syariah Islamiyah antara MAIWP dan Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur dengan Pondok Moden Al-Abaqirah. - Foto MAIWP

KUALA LUMPUR – Kerajaan dibawah Pejabat Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) membelanjakan lebih RM190 juta dalam tempoh dua bulan ini untuk membantu golongan miskin meneruskan kehidupan dalam saat genting berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menterinya, Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamed Al-Bakri berkata, bantuan itu selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar tidak ada “yang mati kelaparan, tidak ada makan dan minum” sepanjang penularan wabak Covid-19.

“Kita didapati jumlah pengangguran di negara ini semakin meningkat yang dipengaruhi impak negatif PKP ke atas pasaran buruh.

“Justeru, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) turut membantu kerajaan mengurangkan kadar itu dengan membelanjakan duit lebih RM190 juta, yang hanya tidak sampai dua bulan.

“Usaha kita turut serta membantu ini telah terbukti, dan bukan sekadar itu, agensi agama di peringkat nasional dan negeri juga telah memberi kerjasama yang baik.

“Contohnya, bawah agensi saya, iaitu Jakim, Pusat Pungutan Zakat, Yapeim, Yayasan Wakaf, Jawhar dan MAIWP membantu dengan memperkenalkan pelbagai skim,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pelaksanaan Diploma Syariah Islamiyah antara MAIWP dan Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL) dengan Pondok Moden Al-Abaqirah (PMA) di ibu pejabat MAIWP di sini, hari ini.

MoU itu ditandatangani Rektor KPBKL, Datuk Dr. Noor Inayah Yaakub dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIWP, Datuk Akbar Samon; dan MoU PMA dengan Wakaf Integrated Holistic Education System (IHEP) yang diketuai Pengerusi Eksekutifnya, Prof Dr. Hasni Mohamed.

Menurut Dr. Zulkifli, sepanjang Ramadan lalu, MAIWP dengan Kerjasama Bank Islam dan diurusetiakan Bank Negara Malaysia (BNM) telah memudahkan usaha kerajaan menubuhkan skim i-Tekad.

Kata beliau, skim itu bertujuan untuk memberi pengetahuan dan bantuan seupaya mungkin oleh kerajaan kepada golongan sasar dan program berkenaan berjalan dengan lancar.

“Kita juga akan tubuh dan beri bantuan bukan sekadar one-off, tetapi membolehkan mereka meneruskan kehidupan, menjadi bantuan itu sebagai sumber pendapatan,” katanya yang akan melaksanakan program berkenaan dengan Kerjasama Majlils Agama Islam Negeri. – MalaysiaGazette.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *