Home » Langit Terbuka » Dr Wan Azizah Minta YaPIEM Kaji Keberkesanan Program

Dr Wan Azizah Minta YaPIEM Kaji Keberkesanan Program

Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah berkata, walaupun negara telah merdeka lebih 60 tahun namun kita dapati isu kemiskinan masih pada tahap membimbangkan kita inginkan kemakmuran negara dinikmati oleh seluruh rakyat.

PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mahu Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) memantau dan mengkaji keberkesanan setiap program dan projeknya supaya kumpulan sasar mampu berdikari dan akhirnya menjadi penyumbang kepada ummah.

Katanya beliau sentiasa menyokong penuh usaha dan hasrat murni YaPEIM dalam membantu dan meningkatkan sosioekonomi ummah, bagaimanapun ia harus diiringi dengan mendidik, membimbing dan memantau agar peningkatan sosioekonomi itu dapat diukur dan dinilai.

“Setiap sen yang dikutip melalui sumbangan sama ada dana kerajaan mahupun sumbangan jariah orang ramai bukan hanya dapat dilihat dengan kepesatan kemajuan YaPEIM, bahkan apa yang lebih penting adalah kepesatan kemajuan kumpulan sasaran,” katanya ketika berucap pada Program Inspirasi Ramadan YaPEIM, di sini, hari ini.

Sebanyak 500 anak yatim dan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah menerima sumbangan daripada YaPEIM pada majlis itu dengan setiap orang menerima RM100 dan barang keperluan.

Turut hadir Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin, Presiden Perbadanan Putrajaya Datuk Seri Hasim Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan YaPEIM Datuk Abibullah Samsudin.

Dr Wan Azizah berkata YaPEIM yang ditubuhkan pada 1976 telah dijenamakan semula pada 1984 dalam usaha meningkatkan martabat dan kualiti umat Islam di negara ini menjelang 2020.

Justeru, katanya wawasan itu perlu diterapkan dalam setiap perancangan jangka pendek dan jangka panjang YaPEIM.

“Walaupun negara telah merdeka lebih 60 tahun namun kita dapati isu kemiskinan masih pada tahap membimbangkan kita inginkan kemakmuran negara dinikmati oleh seluruh rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata beliau ingin melihat konsep amal jariah menjadi budaya dalam kehidupan umat Islam di negara ini.

“Program dan projek tidak lagi bersifat bermusim tetapi berterusan dan memberi impak kepada perubahan,” katanya. – BERNAMA

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *