KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan beliau kini menjalani kuarantin secara sukarela di kediamannya selepas mempunyai kontak rapat dengan individu yang disahkan positif COVID-19.
Difahamkan, Ahli Parlimen Langkawi itu mula menjalani kuarantin secara sukarela sejak semalam selepas bergambar dengan individu berkenaan baru-baru ini.
“Saya patuh (kuarantin secara sukarela) kerana amat penting dalam menangani masalah ini, kita berdisiplin. Kita sanggup dikurung di rumah selama 14 hari.
“Jika kita berbuat demikian, kuranglah kemungkinan penyakit ini merebak kepada orang lain. Ini pengalaman saya terkurung di rumah. Tak boleh keluar. Tak boleh jumpa sesiapa. Tak boleh salam dengan orang dan macam-macam lagi.
“Walaupun dikuarantin, alhamdulillah kerana tidak begitu berat bagi saya,” katanya dalam temu bual eksklusif yang disiarkan di Buletin Utama malam ini.
Dr Mahathir turut menasihatkan orang ramai yang mempunyai hubungan rapat dengan individu positif COVID-19 supaya akur dan patuh dengan langkah kuarantin.
Katanya, tindakan itu demi kebaikan bersama dan menepati tuntutan agama.
“Kita mesti menjaga, kawal diri kita. Jika semasa 14 hari kita berdiam diri, kurungkan diri, itu tidak mengapa kerana ini untuk kebaikan.
“Ini usaha kita dalam menunaikan ajaran agama kita, iaitu kita perlu berusaha sendiri sebelum doa dan sembahyang hajat yang kita lakukan, dimakbulkan,” katanya.
Mengulas mengenai Perintah Kawalan Pergerakan, beliau berkata, perintah itu perlu dipatuhi kerana tidak mahu virus itu tersebar.
“Kita perlu tinggal di mana tempat kita berada. Bukan balik ke kampung. Jika kita balik ke kampung, seolah-olah kita bercuti. Kita mungkin membawa virus ini ke kampung,” katanya. – Berita Harian
KOMEN