BANGI, 17 Mei – Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff membuat laporan polis terhadap pemimpin parti rasis dan cauvinis DAP, Hannah Yeoh Tseow Suan ekoran penerbitan bukunya yang cenderung kepada pengaruh agama Kristian.
Menerusi kenyataan di akaun Facebooknya hari ini, Dr Kamarul akui terkejut apabila mendapati buku yang dibelinya di sebuah gedung buku itu mengandungi banyak kisah dan petikan daripada Bible.
Katanya, beliau pada asal membeli buku berkenaan adalah kerana penulisnya seorang ahli politik yang juga Ahli Dewan Undang Negeri (ADUN) Subang Jaya dan Speaker DUN negeri itu.
“Pada hemat saya, disebabkan penulisnya seorang ahli politik, tentulah kandungan buku ini akan banyak menyentuh pembabitan penulisnya dalam bidang politik, iaitu bidang kajian saya.
“Saya berpendapat bahawa buku ini merupakan satu cubaan untuk memujuk, mempengaruhi, atau menghasut seorang lain yang bukan beragama Kristian, termasuk yang beragama Islam, supaya menjadi penganut atau anggota agama Kristian atau supaya cenderong kepada agama Kristian,” katanya.
Beliau berkata, kandungan buku berkenaan banyak menonjolkan keistimewaan agama Kristian dan secara jelas sebagai naskhah khas yang cuba mempengaruhi bukan penganut Kristian termasuk orang Islam terhadap agama itu.
“Apa yang ditonjolkan di dalam buku ini adalah penganut agama Kristian adalah insan yang beruntung dan Tuhan agama Kristian adalah Tuhan yang kasih, baik dan adil.
“Diceritakan betapa Hannah Yeoh sering menerima “prophecy” (pengetahuan mengenai masa depan) tepat dari Tuhan beliau, termasuk bahawa suatu hari nanti beliau akan bekerja bersama negarawan dan pemerintah (“I would someday work among statesmen and rulers”, muka surat 109),” katanya.
Mengulas lanjut Dr Kamarul berkata, pemimpin DAP itu sememangnya memaksudkan bahawa buku itu turut dibaca oleh orang bukan Kristian, dan terbukti apabila ia bebas dibeli oleh sesiapa sahaja termasuk orang Islam.
“Ini diakui sendiri oleh Hannah Yeoh di dalam kenyataan media beliau pada 15 Mei 2017 bahawa buku ini “boleh dibeli secara atas talian di www.gerakbudaya.com atau mana-mana gedung buku utama seperti Kinokuniya, MPH, Popular dan Times”,” katanya.
“Oleh itu, Hannah Yeoh mungkin telah melakukan kesalahan di bawah yang menyebut, ‘seseorang adalah melakukan kesalahan jika ia memujuk, mempengaruhi, atau menghasut seorang lain yang beragama Islam supaya menjadi penganut atau anggota suatu agama bukan Islam atau supaya cenderong kepada agama itu,” katanya.
Malah katanya, ADUN DAP berkenaan juga mungkin melakukan kesalahan mengikut Seksyen 298(A)(1) Kanun Keseksaan kerana (a) menyebabkan, atau cuba menyebabkan, atau mungkin menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan, atau perasaan permusuhan, benci membenci atau niat jahat, atau (b) memudaratkan, atau cuba memudaratkan, atau mungkin memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan, di atas alasan agama.
“Saya sendiri pernah mendengar luahan kawan-kawan beragama Islam yang sangat tidak berpuas hati dengan tindakan Hannah Yeoh ini kerana ia dikatakan bertentangan dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, yang menyebut bahawa agama Islam adalah agama Persekutuan selain bertentangan dengan Perkara XLVIII(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan yang menyebut bahawa agama Islam adalah agama Negeri.
“Oleh itu, saya minta pihak polis membuat siasatan ke atas beliau di bawah Enakmen dan Kanun ini dan/atau di bawah mana-mana peruntukan undang-undang lain yang berkaitan,” katanya.- www.ismaweb.net
KOMEN