THRISSUR: Pensyarah Pengajian Islam Pusat Pengajian Islam Oxford, United Kingdom, Datuk Dr. Afifi al-Akiti diberikan penghormatan ulama sedunia untuk menyampaikan ucapan dalam majlis Persidangan Belia Kerala 2024.
Persidangan tersebut disertai lebih 100,000 peserta terdiri daripada golongan belia, agamawan dan cendekiawan seluruh dunia yang berlangsung selama tiga hari di Noorul Ulama Dale, Thrissur, India pada hujung Dis lalu.
Persidangan itu dianjurkan oleh Samastha Kerala Sunni Yuvajana Sangham (SYS) sempena sambutan Jubli Platinum pertubuhan SYS yang ke- 70.
Afifi dalam ucapannya menekankan hubungan sejarah Islam dengan Kerala, selain mengagumi SYS yang memasuki dekad kelapan yang terus kekal dengan komitmennya membimbing belia ke arah kebaikan.
“Hari ini, kita menyambut ulang tahun yang bermakna. Mungkin tidak semua orang menyedari sejarah yang kaya di sebalik perkataan ‘jubli. Menariknya dalam beberapa tradisi Arab yang mencapai umur 40 tahun menandakan peralihan kepada usia yang lebih tua.
“Jadi kita mungkin mengatakan Sunni Yuvajana Sangham secara teknikalnya bukan lagi organisasi belia, namun semangat keremajaan dan dedikasi jelas kekal kuat semasa anda meraikan kejayaan 70 tahun yang luar biasa ini,” katanya seperti dilapor Dewan Tamadun Islam.
Persidangan Belia Kerala 2024 antara agenda utamanya membincangkan usaha menangani cabaran belia masa kini selain membentuk masyarakat bermoral dan bertanggungjawab.
Ujar Afifi, persidangan itu menjadi platform perbincangan intelektual serta penghayatan rohani yang memperkukuh kepentingan tanggungjawab secara kolektif dalam usaha memupuk prinsip kemanusiaan.
Tambahnya, persidangan tersebut bukan sahaja meraikan legasi SYS, sebaliknya membuka ruang kepada usaha berterusan menegakkan nilai-nilai Islam dan menggalakkan masyarakat global yang harmoni.
Secara tidak langsung, persidangan tersebut juga mempamerkan peranan Kerala sebagai hab kesarjanaan Islam dan inisiatif kemanusiaan merentasi sempadan budaya dan geografi untuk menggalakkan perpaduan dan tanggungjawab bersama dalam kalangan masyarakat global, ujar Afifi.
SYS ialah sebuah organisasi Islam berasal dari Kerala, India di bawah naungan Mufti Besar India Sheikh Aboobecker Ahmad (Kanthapuram), organisasi ini bergabung dengan Jamiyyathul Ulama Sunni Seluruh India dan Jamaat Muslim Kerala.—AlHijrah Online
KOMEN