Home » Wacana » Doa seorang pemuda

Doa seorang pemuda

Susunan WARTAWAN DAKWAH

Kisah ini, aku terima hasil daripada perkongsian saudaraku di dalam grup WhatsApp yang mana menurut penulis asalnya, diperoleh daripada sebuah buku motivasi. Namun, izinkan aku untuk mengolahnya sedikit. Kisah yang dinukilkan ini pada fikiranku, mungkin boleh dijadikan pengajaran dan bekalan untuk kita sama-sama melayari lumrah hidup yang penuh pancaroba ini. Insya-Allah. Begini kisahnya…

Di suatu desa yang aman damai, hidup seorang pemuda yang tidak pernah culas mengerjakan solat fardu berjemaah di masjid. Setiap kali masuknya waktu solat, dia akan ke masjid untuk berjemaah. Tidak pernah ketinggalan. Tanpa disedarinya, seorang sheikh tua yang sangat terkenal dengan sifat tawaduk dan alim di desa itu menyimpan rasa kagum dengan kerajinan pemuda itu mengerjakan solat berjemaah. Senario ini sangat berbeza dengan sebahagian pemuda di desa itu yang sering lalai mengerjakan solat jemaah.

Oleh kerana pemuda ini seorang yang baik dan taat kepada agama mengikut kaca mata sahabat-sahabatnya, mereka selalu meminta pemuda ini mendoakan kesejahteraan mereka. Alhamdulillah! Doanya selalu dimakbulkan Allah SWT. Kawan yang memintanya mendoakan jodohnya, akan berkahwin. Kawan yang memintanya mendoakan dikurniakan zuriat, akan menerima khabar gembira kehamilan sang isteri. Begitulah seterusnya. Apa sahaja yang didoakan, pasti akan dimakbulkan Allah.

Sehingga sampailah waktunya pemuda itu melangsungkan perkahwinan dan menerima perkhabaran indah kehamilan sang isteri tercinta beberapa purnama selepas itu. Ketika isterinya hampir melahirkan cahayamata mereka, tiada apa yang diminta, hanya doa agar anak yang bakal lahir itu memiliki sifat dan anggota badan yang sempurna. Malangnya, apa yang dimohon tidak dimakbulkan. Permata hati yang lahir tidak sempurna sifatnya. Bermuram durjalah pasangan suami isteri itu, hairan mengapa doa yang dipanjatkan sepenuh hati itu tidak dimakbulkan Allah.

Rentetan daripada peristiwa itu, semua doa yang dipanjatkan sudah tidak mustajab lagi.

‘Apalah salah dan silap yang telah aku lakukan sehingga doaku tidak lagi diperkenankan oleh Allah, tidak seperti sebelum ini…’ Rintih pemuda itu sendirian usai menunaikan solat Asar berjemaah di masjid yang biasa dikunjunginya itu. Lama dia merintih sehingga tidak sedar hari sudah senja dan semakin gelap.

Seakan baru tersedar dari lamunan, pemuda itu memandang sekelilingnya. Suasana sekitar masjid itu tidak pernah berubah. Sentiasa redup dan mendamaikan jiwa. Tiba-tiba dia memandang ke arah suatu sudut. Di mana sheikh tua yang selalu ada di situ, berzikir dan bermunajat kepada Allah selalu itu. Hatinya ingin benar menemui sheikh tua itu. Mungkin dia memiliki jawapan bagi segala persoalan yang menyerabuti benaknya itu. Lalu, dia memilih untuk kekal di situ sehingga masuk waktu solat Maghrib. Mudah-mudahan hajatnya itu kesampaian.

Usai solat Maghrib, kelibat sheikh tua masih tidak kelihatan. Pemuda itu mengambil keputusan untuk menanyakan keberadaan sheikh tua kepada bilal masjid. Jawapan yang diterima daripada sang bilal sangat meruntun jiwanya. Rupa-rupanya, sheikh tua telah menemui Sang Penciptanya.

Kemudian, sang bilal berkata, “Tahukah kamu, almarhum sheikh selalu berdoa kepada Allah agar memakbulkan segala permintaanmu? Setiap hari, dia tidak pernah gagal mendoakan untuk kamu,” Terkejut dengan khabar yang diterima, maka insaflah pemuda itu. Segala persoalan telah terjawab; bahawa selama ini bukanlah doanya yang dimakbulkan Allah, tetapi doa sheikh tua itulah yang dimakbulkan.

*****

 

Kisah ini sangat terkesan di jiwaku. Hakikatnya, mungkin selama ini, kita hidup sepertimana sekarang hasil keikhlasan doa orang lain. Anak-anak bahagia kerana doa ibubapanya yang tidak pernah putus. Suami atau isteri diberi kemudahan dalam urusan kerana doa pasangan mereka yang ikhlas. Ibu bapa bahagia di alam barzakh kerana kiriman doa anak-anak yang soleh. Pelajar berjaya atas keberkatan doa seorang guru yang tidak pernah jemu. Seorang sahabat bahagia di dunia ini kerana ada doa sahabat lain yang tulus. Dan kita semua selamat dari bencana mungkin masih ada lagi doa para ulama di dunia ini.

Siapalah kita untuk mendabik dada, berkata akulah segalanya… – MAJALAH DAKWAH

Artikel Berkaitan

Selangor sediakan modul khas pulihkan ahli GISB

SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kini dalam fasa memulihkan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *