Home » Wacana » Doa seorang anak

Doa seorang anak

Oleh ABDUL RAZAK MAKSUD

Tersebutlah sebuah kisah mengenai dua saudara yang telah kematian bapa. Adapun si abang cenderungnya kepada berniaga. Setiap hari dia berdoa agar Allah memberinya kekayaan dan kesenangan. Saban waktu dia berdoa agar kehidupannya berubah dengan ditambahi wang melimpah ruah dan kehidupan yang senang-lenang.
Si abang mula berniaga. Dari sehari ke sehari perniagaannya semakin maju dan kelihatan Allah SWT memperkenankan doanya. Tidak lama selepas itu, si abang telah mampu membina sebuah mahligai dan berpindah dari teratak pusaka peninggalan ayah.
Adapun si adik nasibnya tidaklah seperti sang abang. Dia keras berusaha dan berdoa namun kehidupannya serba sederhana. Sebelum wafat, si ayah telah berpesan kepada si adik sesuatu yang ditulis di atas sekeping kertas. Kertas yang dianggap sebagai wasiat ini digenggam kemas oleh si adik. Dia juga tidak cuai berdoa untuk setiap usahanya namun nasibnya masih tidak berubah.
Suatu hari si abang tergerak hati untuk melawat saudaranya. Setibanya di rumah pusaka, apa yang dilihat adalah kedaifan dan kemiskinan.
Lantas dia memulai bicara: “Dik, aku lihat engkau ini seret benar rezekimu. Adakah kurang usahamu atau kurang doamu kepada Tuhan? Seharusnya engkau contohi diriku ini. Aku rajin berusaha dan berdoa kepada Allah. Atas usahaku juga aku berjaya, dik.”
Si adik hanya tersenyum.
“Abang, sungguh. Aku berbangga dengan kejayaanmu. Namun redaku kepada Allah SWT atas ketentuan-Nya adalah lebih utama,” detik hatinya.
Melihat reaksi si adik yang hanya tersenyum membuatkan si abang sedikit kecewa kerana saranannya seperti kurang dimengerti.
“Terpulanglah kepadamu, dik. Sebagai abang, aku menasihatimu atas pengalamanku. Berdoalah untuk senang dan kaya, kerana doa itu senjatamu,” lirih suara si abang seraya meninggalkannya.
Semenjak hari itu, si abang semakin jarang menziarahi saudara satunya ini. Waktu terus bergilir, berputar dengan alam yang seakan tidak pernah tidur. Sehingga suatu hari si abang mendapat perkhabaran mengejut berkenaan kematian si adik.
Hatinya sedikit terkilan kerana tidak sempat menemui adiknya sebelum menghembus nafas terakhir. Sekarang rumah pusaka peninggalan ayah sudah tidak berpenghuni. Cadangnya dia mahu menjualkan sahaja kepada sesiapa. Ketika dia mengemas peninggalan arwah, matanya terlihat sehelai kertas yang sudah kumal. Barulah dia teringat bahawa itulah kertas yang sering digenggam adiknya saban waktu. Kertas itulah juga yang diamanahkan oleh si ayah.
Demi dia membaca isinya, air matanya mengalir laju.
“Nak, tiada apa yang ayah mampu tinggalkan kepadamu berdua dari harta dunia ini, hanya sebuah pesan buat azimat hidupmu. Sesungguhnya hak bagi seorang hamba ialah berdoa, maka engkau doakanlah saudaramu yang satu. Semoga termakbul segala keperluannya dan dia membawamu keluar dari kemiskinan ini. Janganlah kamu menyusahkannya dengan meminta-minta, kerana aku yakin, kasihnya dia sebagai saudara mendahului permintaanmu.”
Dan di hujung ayat si ayah, si adik menambah: “Maka aku bersumpah Ya Allah, Engkau kabulkanlah segala doa saudaraku, segala permintaan dan hajatnya kerana Engkaulah yang maha mendengar lagi Maha Mengasihani. Tiada suatu pun yang aku paling ingini melainkan kebahagiaan dan kesejahteraan saudaraku ini.”
Nah, moralnya, selalunya kita berasa bahawa apa yang Allah kabulkan ini adalah daripada doa kita yang tidak seberapa. Tetapi adakah kita sedar, barangkali sahaja Allah sebenarnya mengabulkan doa insan-insan yang ikhlas di sekeliling kita. Mungkin sahaja itu doa ibu dan bapa kita, atau mungkin pasangan dan adik- beradik kita, atau mungkin juga sahabat serta saudara-mara kita.
Apa kata mulai hari ini kita doakan sekali saudara-saudara dan sahabat kita selain daripada keperluan diri sendiri. Kerana Allah suka doa seorang sahabat yang dilakukan secara sembunyi di belakang pengetahuan sahabatnya itu.
Abdul Razak Maksud ialah Setiausaha, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Selangor

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *