PUTRAJAYA – Para pelatih Daie Muda YADIM (DMY) selepas ini ialah antara yang bakal menerima manfaat besar hasil kerjasama YADIM dengan Yayasan Hayrat Malaysia kelak, yang menawarkan pengisian daripada segi latihan di lapangan dan pengisian kerohanian.
Menerusi tawaran berkenaan, pelatih DMY bakal menerima pengisian dalam bidang pendidikan dan kerohanian yang dimiliki oleh yayasan berkenaan, khususnya melalui pelbagai kepakaran pendidikan yanhg dimilki mereka.
Malah, pelatih DMY juga ditawarkan untuk mengikuti misi kemanusiaan di luar negara yang dilaksanakan yayasan berkenaan yang sudah pasti memberikan pengalaman berbeza dengan program yang dianjurkan di negara ini.
Tawaran kerjasama itu dilontarkan dalam program kunjung hormat yayasan berkenaan ke ibu pejabat YADIM di sini pada 22 Jun. Antara yang hadir ialah Presiden Hayrat Malaysia dan Ketua Perwakilan Yayasan Hayrat Asia Tenggara, Ustaz Sadiq Ozata dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Hayrat Malaysia, Mohd Syafiq Md Shafii.
YADIM pula diwakili oleh Yang Dipertuanya, Ustaz Nasrudin Hassan serta pengarah pengarah kanan badan dakwah ini.
Dalam reaksinya, Ustaz Nasrudin menyambut baik tawaran tersebut dan menyifatkannya sangat tepat dengan misi badan dakwah ini bagi melahirkan pendakwah muda yang mempunyai ketahanan mental dan fizikal.
Tambah beliau, latihan yang bakal diperolehi menerusi program itu adalah satu pengalaman yang sangat penting dan berharga untuk para pelatih DMY, ke arah melahirkan pendakwah yang berkualiti.
Terdahulu Ustaz Nasrudin mengalu alukan kedatangan wakil wakil Yayasan Hayrat Malaysia ke YADIM yang menurutnya akan membuka peluang pihaknya memperkasa agenda dakwah di peringkat antarabangsa.
YADIM ujarnya, telah terlibat dengan beberapa gerakan dakwah di peringkat Asean sebelum ini apabila mengadakan program bersama negara seperti Indonesia, Brunei dan Thailand.
Yayasan Hayrat Malaysia yang mempunyai hubungan langsung dengan Yayasan Hayrat di Turki, ditubuhkan pada September 2012.
Ia sebelum ini dikenali sebagai Pertubuhan Pemikiran Badiuzzaman dan Risalah An-Nur, memberi fokus mengadakan aktiviti bantuan kemanusiaan, perpaduan, budaya, pendidikan dan kesihatan di dalam dan di luar negara.
KOMEN